SASTERA

Meneropong Nikolas

Oleh Nik Aidil Mehamad

PANGGIL saja aku; Kumira. Dengan sepasang mata yang jernih dan bibir gigil, tanganku juga gigil, aku meneropong Nikolas dari jendela pangsapuri milikku. Lebih kurang 20 minit tempoh yang dipersetujui Nikolas untuk aku bersiap, keluar rumah dan turun lif yang pengap dengan bau peluh buruh-buruh imigran pulang kerja.

Nikolas dengan secawan kopi di meja. Duduk menyendiri jauh dari kehidupan dalam kafe di hadapan pangsapuri milikku. Kekaburan yang lahir dari kanta teropong buat aku gelisah. Kadang ia bagus untuk diriku, seperti membaca puisi-puisi kabur sebelum lelap. Insomnia ingin berteman lewat malam tidak diendahkan dan mataku katup dengan persoalan dan makna yang sedang dicari dalam puisi. Puisi masuk ke dalam tidur-mengalir dalam mimpiku.

Satu hal yang aku kurang selesa dengan Nikolas. Dia akan merokok sebanyak yang boleh ketika dalam talian video dua hari lepas. Kepulan asap yang bikin paru-paru aku terasa lemas. Kejelekannya itu aku diamkan saja dengan dada bogel yang sengaja memaparkan bulu dadanya sebelum aku terperangkap dengan Nikolas dalam hutan belantara kelmarin. Aku akan menghilang apabila Nikolas menghirup kopi pertama kali dengan bunyi hirupan semacam iklan-iklan minuman di tivi dan radio – bunyi khas hirupan yang grotes.

Buih-buih kopi terapung apabila aku mengacau kopi sesuai dengan melodi The Strokes. Is This It lagu pilihan apabila Nikolas sedang mengintai di tetingkap Skype. Buih-buih kopi akhirnya bertukar visual hutan – visual itu tidak ubah seperti bulu dada Nikolas yang aku rasa lucu, aneh dan kadang aku rasa ia sangat menggoda tetapi tidak seksi kerana aku perempuan dan aku tahu lelaki tidak seksi. Sepasang mataku terjun ke dalam cawan kopi-mengamati visual hutan yang teroleng-oleng apabila tanganku gigil. Efek tidur yang tidak cukup barangkali. Nikolas menyedarkan aku sesuatu hal yang aku sudah lupa. Sekali hirupan aku rasa terjaga-sepenuhnya.

Nikolas masih menunggu aku di tetingkap skype. Kemerahan wajahnya yang berubah dengan drastik apabila aku bersetuju piknik dalam hutan dengannya menaiki Nissan Bluebird milik ibu tirinya. Nikolas dalam keriangan yang kemuncak apabila pipinya kemerahan. Rahsia itu Nikolas yang bongkar seperti juga parut di kening kirinya – tidak terlihat janggal. Parut itu juga sebahagian daripada dirinya dan tidak harus diajukan soalan-soalan aneh tentang parut yang menempel di keningnya.

Nikolas pernah memberitahu aku bahawa cerita yang penulisnya belum tahu akan alur cerita adalah kenikmatan menulis. Dan aku mengerti ungkapan Nikolas itu apabila kami tersesat dalam hutan belantara ditemani kucing belaan ibu tirinya – aku panggil kucing itu dengan gelaran Seno. Seno haiwan peliharaan yang manja, pendiam dan tahu berlari dengan pantas apabila kami berlari dalam rentak kepanikan seperti gelombang musik Transmission dari kugiran legenda post-punk, Joy Division. Alur kecil yang kami tempuhi adalah sifar pengetahuan destinasi yang kami tujui – menemukan kami dengan pelbagai kesukaran.

Ego diri wujud dalam diri aku dan Nikolas; tentang alur jalan mana yang kami harus pilih untuk keluar dari hutan belantara dan pada waktu itu dalam kepalaku lahir pemandangan pantai sepanjang perjalanan pulang ke Kuala Lumpur – puisi yang estetik. Keinginan menikmati kehidupan magis dalam hutan belantara dengan perasaan lain yang bertarung dengan keinginan kenikmatan iaitu perasaan terperangkap sedangkan yang mengejar kami hanyalah Seno yang naif dan patuh. Kami sasau – memberontak dengan definisi pemberontakan yang tidak jelas lahir dalam diri kami. Ego diri akan lenyap jika hujan renyai turun – pelangi wujud dalam diri apabila matahari menerangi pemikiran – menjernihkan alur lorong yang kami harus tempuhi tanpa gaduh yang membawa gundah dan pentengkaran akan tamat seusai hujan renyai berhenti.

Kami terpisah dalam hutan belantara. Seingat aku; aku dibawa keluar dari hutan belantara oleh seorang pemuda yang tidak jelas rupanya. Pemuda itu memandu kereta milik ibu tiri Nikolas dan Seno tidur nyaman di kerusi penumpang belakang. Aku menanyakan tentang Nikolas kepada pemuda itu – suaranya agak berat seperti baru saja sembuh dari batuk. Kedengaran seperti ada kahak yang tersisa melekat di kerongkongnya dan kebingungan aku pada waktu itu apabila pemuda itu mengatakan bahawa Nikolas sedang tersesat dalam hutan absurdisme – absurdisme dalam kepalanya membiakkan khayalan-khayalan peribadi sehinggakan keintimannya khayalan itu dapat dimaknai oleh dirinya sendiri. Aku mengatakan kepadanya bahawa Latiff Mohidin berpendapat bahawa abstraksi emosional bertitik tolak dari imaginasi terhadap dirinya, esksistennya, benda-benda di sekelilingnya, proses pengalamannya dan alamnya. Barangkali imaginasi Nikolas berkeliaran dan terperangkap dalam tubuhmu, kata pemuda itu.

Pili air hujan membasahi seluruh tubuh selepas aku masuk ke dalam pangsapuri dengan sepasang kaki bogel. Sisa-sisa lumpur tertanggal dari kulit – menempel di pergelangan tangan dan juga pada rambut luntur pelan-pelan. Bau lumpur terapung dalam bilik mandi – tidak melenyapkan memori tersesat dalam hutan belantara dengan Nikolas. Kegilaan apa yang aku dengar dari pemuda itu dan yang aku impikan hubungan jika ada tragedi antara kami biarlah akhirnya tragedi tergelincir jatuh ke dalam komedi.

Kebosanan mula tumbuh dalam sepasang mata sekarang. Aku berhenti mengintai Nikolas dari kanta teropong. Nikolas mencucuh rokok – wajahnya bercahaya. Kepulan asap rokok yang dihembus bibir Nikolas seolah-olah rahim – seekor merpati putih terbang keluar dari kepulan asap rokok dengan daya terbangan yang romantis. Momen itu terasa lama dan seluruh ingatan selepas momen itu tamat, melekat dalam ingatan; kekal. Waktu membeku seketika sebelum aku mengatup tingkap dan tidak lagi membukanya. Merpati putih bertenggek di tingkap.


Pengarang :