GLOBAL

Michael Douglas terima pengiktirafan Hollywood Walk of Fame

LOS ANGELES, 7 NOV: Michael Douglas menjadi selebriti terbaharu menerima pengiktirafan Hollywood Walk of Fame, semalam bagi menghargai sumbangannya bergelar anak seni selama 50 tahun.

Pemenang Oscar berusia 74 tahun itu menyifatkan bintang berkenaan sebagai penghormatan hebat dan ingin menikmatinya bersama keluarga.

Dengan nada yang cukup emosi, beliau berkata, majlis itu lebih bermakna dengan kehadiran bapanya, aktor Kirk Douglas, 101.

“Jujurnya dari lubuk hati ini, saya amat bangga menjadi anak ayah,” katanya dengan linangan air mata, lapor AFP dan Reuters.

Hadir sama, isteri Douglas, aktres Catherine Zeta-Jones dan aktres Jane Fonda yang pernah menjadi gandigannya dalam drama ‘The China Syndrome’, pada 1979.

Douglas hanya berusia 29 tahun apabila namanya diangkat sebagai antara elit Hollywood selepas menjadi penerbit untuk filem “One Flew Over the Cuckoo’s Nest”.

Ia adalah filem pertama dalam tempoh 40 tahun yang berjaya meraih lima anugerah utama Oscar termasuk gambar terbaik, pengarah terbaik, aktor terbaik, aktres terbaik dan lakon layar terbaik.

Beliau kemudian memenangi satu lagi Oscar untuk pelakon lelaki terbaik bagi filem ‘Wall Street’, pada 1987.

 


Pengarang :