NASIONAL

Miliki wang palsu, lima dihadap ke mahkamah

SEREMBAN, 15 NOV: Lima individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki wang palsu Dolar Amerika bernilai RM1.4 juta dan wang palsu Ringgit Malaysia bernilai RM13,600.

Mengikut kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa memiliki 3,464 keping wang kertas palsu Dolar Amerika dan 136 keping wang palsu Ringgit Malaysia, masing-masing setiap keping bernilai US$100 dan RM100 dengan niat untuk menggunakannya sebagai wang tulen.

Tertuduh Azuan Miswadi Abdullah, 38; Khairul Anuar Parull, 33; Zulfikar Abd Rahman, 32; Izzaitie Aqma Johari, 24; dan Norsuhaila Abd Mutalib, 21; bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara serentak kepada mereka di hadapan Hakim G. Ramesh.

Mereka melakukan kesalahan itu pada 12 tengah hari di sebuah rumah bernombor 7, di Kampung Jijan Tengah, Nilai, 27 Disember 2017.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 498 C Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Ramesh kemudian membenarkan jaminan RM12,000 dengan dua penjamin warganegara diberikan kepada tiga tertuduh iaitu Khairul Anuar, Zulfikar dan Norsuhaila.

Terdahulu, Norshazwani memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan yang dilakukan kesemua tertuduh merupakan kesalahan berat.

Mahkamah menetapkan 14 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

-Bernama


Pengarang :