SUKANKINI

Mohd Rizal waspada saingat atlet Kuala Lumpur dan Pulau Pinang

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 NOV: Atlet Tempin Boling Negeri Selangor, Mohd Rizal Hassan, 38, bersedia untuk memberikan persembahan terbaik sekaligus menyumbang pingat pada Para Sukan Malaysia (SUKMA) XIX Perak 2018.

Beraksi dalam Kategori B3 (Cacat Penglihatan), beliau menyifatkan cabaran sengit bakal dihadapi daripada atlet Kuala Lumpur dan Pulau Pinang kerana pengalaman dalam kejohanan besar di samping tampil dengan status bekas atlet kebangsaan.

Mensasarkan dua pingat emas dalam acara perseorangan dan berpasangan, ini merupakan kejohanan Para SUKMA pertama yang disertai Mohd Rizal.

“Di atas kertas saya melihat cabaran adalah 60:40. Atlet Kuala Lumpur dan Pulau Pinang mempunyai pengalaman lebih enam tahun dalam sukan tempin boling sementara saya baru sahaja menceburi sukan ini sejak tiga tahun lalu.

“Bagaimanapun, saya tidak akan memberikan laluan mudah dan akan tetap memberikan saingan terbaik serta mengutip pingat buat Selangor,” katanya kepada Selangor Kini.

Untuk rekod, Mohd Rizal pernah menyumbang tiga pingat emas dan satu perak buat Malaysia pada kejohanan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017.

Pada temasya Pada Asia Indonesia 2018, beliau berjaya menyumbang dua pingat gangsa masing-masing dalam acara perseorangan dan berpasangan.


Pengarang :