SELANGOR

MPK sita 6 kilang plastik haram

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 2 NOV: Sekurang-kurangnya enam kilang memproses plastik di Jalan Permata 8A, 9, dan 9A Perindustrian Air Hitam, disita dalam operasi bersepadu Majlis Perbandaran Klang (MPK) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, semalam.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, hasil pemeriksaan mendapati, kilang itu beroperasi tanpa lesen, malah mesin di kilang itu juga pernah disita sebelum ini kerana melanggar peraturan di bawah JAS.

“Sebanyak tujuh premis menjalankan aktiviti memproses dan menyimpan plastik, MPK mengenakan tindakan sita kepada enam premis.

“Pemilik kilang dikenal pasti ingkar dan masih menjalankan aktiviti di premis itu tanpa memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan seperti kebersihan sekeliling premis dan sebagainya.

“Operasi dijalankan selepas menerima aduan daripada penduduk dan pengilang berhampiran terdapat aktiviti pembakaran terbuka sehingga mendatangkan pencemaran bau,” katanya dalam kenyataan.

Norfiza berkata, MPK turut mengeluarkan enam notis di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MPK) 2007.

Katanya, notis penutupan serta merta dikeluarkan dan semua premis disita serta dipasang tali kuning bagi menghalang sebarang aktiviti di kilang terbabit.

Pada masa sama, katanya, MPK akan terus membuat pemantauan berkala bagi memastikan kilang berkenaan tidak kembali beroperasi dan menghentikan aktiviti sepenuhnya.

“Operasi seperti ini diteruskan lagi di kawasan lain seperti di Telok Gong, Pulau Indah dan Pandamaran bagi menghentikan aktiviti di kilang haram.

“Kita juga akan terus bekerjasama dengan agensi lain untuk menyalurkan maklumat jika terdapat perkara menyalahi undang-undang di bawah bidang setiap agensi terlibat,” katanya.

Operasi bermula jam 9 pagi dan berakhir 1 tengah hari itu diketuai Timbalan Pengarah Perlesenan MPK, Mohd Fharulisa Md Isa bersama 30 anggota penguatkuasa MPK dan kakitangan JAS.


Pengarang :