SELANGOR

MPS komited jaya hasrat kerajaan amal budaya sihat

OLEH SHEEDA FATHIL

BATU CAVES, 25 NOV: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) komited menjayakan hasrat Kerajaan Negeri mempromosi budaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat terutama di Selangor.

Yang Dipertuanya, Suliman Abd Rahman berkata, demi menyokong budaya itu MPS memainkan peranan aktif dalam memastikan penyediaan infra dan aktiviti berkaitan di kawasan pentadbirannya.

“Di MPS, pelbagai infra disediakan untuk masyarakat melakukan aktiviti riadah antaranya Stadium Selayang, Kompleks Sukan Siantan yang mempunyai kolam renang bersaiz olimpik, hampir 400 kawasan lapang dan padang serta 17 taman rekreasi juga kemudahan ‘outdoor gym’ disediakan.

“Malah, bagi membudayakan hidup sihat, MPS turut membina trek basikal sepanjang 4 kilometer di sekitar Bandar Baru Selayang, justeru saya optimis masyarakat dapat menggunakan ia sebaik yang mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Karnival Sihat Selangor 2018 Peringkat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Taman Ekstrem Gua Damai, di sini, semalam.

Katanya, kemudahan itu adalah peluang yang menarik untuk orang ramai melakukan aktiviti riadah sekali gus dapat menyihatkan badan.

Terdahulu, MPS turut mengadakan Karnival Sihat Selangor 2018 dengan pelbagai pengisian aktiviti menarik diadakan.

Antara aktiviti menarik adalah senam robik, rock climbing, flying fox, sukan kasut roda, pertandingan push bike dan pertandingan mewarna.


Pengarang :