ALAM SEKITAR & CUACANASIONAL

Muat turun myCUACA untuk info pantas bencana gempa, tsunami

TAWAU, 14 NOV: Rakyat Malaysia disarankan muat turun aplikasi myCuaca secara percuma menerusi Google Play dan App Store bagi mendapatkan info terkini berkaitan kejadian bencana termasuk gempa bumi dan tsunami di negara ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Sains, Teknologi dan Inovasi) di Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc), Prof Madya Ramzah Dambul berkata aplikasi yang dibangunkan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met) itu merupakan platform pantas untuk masyarakat menerima maklumat berkaitan bencana selain keadaan cuaca semasa.

“Aplikasi ini sudah lama dibangunkan tetapi kesedaran masyarakat untuk menggunakannya kurang dan setakat ini hanya 95,000 pengguna muat turun myCuaca, jika dibanding ada kira-kira 30 juta rakyat di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan program kesedaran awam mengenai risiko bencana gempa bumi dan tsunami serta latih amal tsunami 2018 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ramzah berkata mengikut pakar-pakar geologi Malaysia tempoh berulang bencana seperti gempa bumi dan tsunami adalah selepas 20 hingga 30 tahun kejadian sebelumnya.

“Justeru kawasan pantai timur Sabah berisiko tinggi dan risiko itu bertambah tinggi dalam beberapa tahun akan datang, dan mengikut kajian, bencana besar yang terjadi di kawasan ini direkodkan lebih kurang 30 tahun lalu, masanya adalah sekarang,” katanya.

Ekoran itu, beliau berkata menteri berkenaan , Yeo Bee Yin mahu mulai tahun ini semua lokasi berisiko tinggi menghadapi bencana besar perlu melaksanakan program latih amal dalam dua kali setahun.

“Berbeza sebelum ini, Prosedur Operasi Standard (Sop) menetapkan latihan dijalankan dua kali setahun di Malaysia (tetapi lokasi terpilih) ,” katanya lagi.

Sementara itu, Ramzah meminta masyarakat mencontohi rakyat Jepun yang peka kepada informasi dan sop keselamatan diri ketika berlaku bencana.

“Di Sabah dan Malaysia amnya, kesedaran itu tidak ada, kerana dilihat jika berlaku kejadian bencana, (masyarakat) bukan merujuk pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat dan bagaimana untuk bertindak balas, sebaliknya mereka ini bergotong royong menyebarkan maklumat palsu sehingga menimbulkan panik kepada orang lain,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :