NASIONAL

Musa Aman berdepan 35 pertuduhan rasuah

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dijangka berdepan 35 pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, lapor BHOnline.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan mendedahkan pertuduhan berkenaan membabitkan beberapa kes konsesi pembalakan, di Sabah yang dianggarkan bernilai AS$60 juta (RM250.05 juta)

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga itu dipanggil SPRM, pada jam 8.30 pagi tadi dan dijangka didakwa di mahkamah, pada jam 3 petang ini.

Sementara itu, SPRM dalam kenyataan berkata, Musa ditahan selepas pihaknya mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara, hari ini.

“Penahanan itu dibuat pada jam 10.05 pagi di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

“Susulan itu, Musa akan menghadapi beberapa pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997,” katanya.

Dalam pada itu, SPRM memaklumkan, Musa akan dibawa ke Mahkamah Sesyen jam 2 petang ini untuk pertuduhan berkenaan.

 


Pengarang :