AGAMASELANGOR

MyRadha’ah kenal pasti identiti saudara susuan – MB

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 19 NOV: Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memperkenalkan Kad MyRadha’ah bagi mengenal pasti identiti saudara susuan dan mengelakkan masalah kekeliruan nasab.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kad khas bagi bayi yang menyusu daripada wanita bukan ibu kandung itu bertujuan menghalang anak susuan berkahwin sesama saudara susuan, selain menjaga keturunan umat Islam dengan pernikahan sah.

Katanya, ia sekali gus dapat memudahkan dan menjamin supaya perkahwinan masa hadapan itu berada dalam kebenaran serta lindungan syarak khususnya, di Selangor.

“Sepertimana anak angkat mendapat kedudukan dalam Akta Pendaftaran Pengangkutan 1952, seharusnya pendaftaran anak susuan ini perlu diberi perhatian supaya perkembangan pelaksanaannya di seluruh negara dengan mengambil punca kuasa perundangan di peringkat persekutuan, pada masa akan datang.

“Oleh itu, ia menunjukkan betapa pentingnya sistem rekod anak dan ibu susuan diperkenalkan supaya boleh membantu pasangan yang mahu berkahwin untuk membuat semakan pertalian saudara susuan sebelum memohon kebenaran berkahwin, di pejabat agama Islam daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium Radha’ah 2018, di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim; Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahi.

Pada masa sama, Amirudin berkata, memandangkan MyRadha’ah adalah projek perintis diperkenalkan Kerajaan Negeri, maka usaha memperkemas Prosedur Operasi Standard untuk pendaftarannya perlu diteruskan.

Katanya, hal itu bagi memastikan pelaksanaannya diteruskan secara lebih efektif, sekali gus dapat diperluas ke seluruh negeri.

“Kesedaran dan kefahaman berhubung perkara ini boleh dilakukan dengan mempergiatkan sesi penjelasan yang meluas, kempen kesedaran masyarakat berkenaan kepentingan dokumentasi dan penyebaran maklumat etika menyusu anak serta ]menderma susu kepada anak orang lain supaya kesihatan anak dijaga.

“Kita juga akan membantu JAIS untuk menguar-uarkan perkara ini, di setiap daerah dengan menjalankan program secara bergerak dan meletakkan maklumat berkaitan Radha’ah demi meningkatkan kesedaran rakyat berhubung pendaftaran serta kepentingan Radha’ah,” katanya.

Terdahulu, pendaftaran Kad MyRadha’ah mula dibuka hari ini sebagai projek perintis dan anak susuan boleh mendaftar jika memenuhi syarat ditetapkan.


Pengarang :