SELANGOR

NGO-i MAIS kian bertambah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 26 NOV: Badan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i) berdaftar di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menunjukkan peningkatan daripada 72 kepada 93 buah, pada tahun ini.

Pengerusinya, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi berkata, peningkatan itu membuktikan pertubuhan terbabit komited dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga dan memartabatkan kesucian Islam daripada anasir yang boleh menggugat kedudukan agama berkenaan.

“Bagaimanapun, pihak kami menerusi Jawatankuasa Pembangunan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan menetapkan had jumlah pendaftaran NGO-i kepada 100 buah sahaja.

“Hal ini bagi membolehkan jawatankuasa dapat memberi fokus kepada program yang lebih berkesan membabitkan isu ancaman akidah dan sosial umat Islam, khususnya di Selangor,” katanya.

Beliau bercakap demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Persidangan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i) MAIS Bil.2/2018, di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohammed Khusrin berkata, NGO-i berdaftar diingatkan supaya menyusun program meningkatkan kemahiran dalam mengamalkan Islam sebenar kepada kumpulan sasaran tepat, mulai tahun hadapan.

Katanya, pertubuhann terbabit harus menjalankan program yang boleh meningkatkan akidah masyarakat Islam dengan melaksanakan strategi dakwah terbuka atau ceramah menerusi kaedah lebih kreatif dan proaktif.

“Manakala, jawatankuasa pembangunan NGO-i melalui sektor pembangunan sosial akan membantu mereka dengan memantau keberkesanan program yang dilaksanakan melalui borang ‘survey’ dan temubual berkaitan bagi memastikan tujuan sebenar MAIS terlaksana.

“Selain itu, NGO-i perlu bebas daripada fahaman politik kepartian dalam setiap tindakan, bersedia menerima pelbagai percanggahan pendapat dan bersifat positif dalam semua perkara dengan mengutamakan hal menjaga Maqasid Syariah dari semasa ke semasa,” katanya.


Pengarang :