SUKANKINI

Nik Nazmi pula tawar diri bertanding Presiden KLFA

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yakin mampu menerajui Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) berdasarkan kebolehan dan minat mendalam terhadap sukan bola sepak tanah air.

Sehubungan itu, beliau menawarkan diri bertanding merebut jawatan Presiden dalam pemilihan persatuan itu, bermula 18 November ini.

Katanya, beliau yakin dengan kebolehan diri dan mampu menawarkan sesuatu bagi perkembangan serta kemajuan bola sepak Kuala Lumpur.

“Apa yang saya ada ialah kebolehan dan jaringan mencukupi bagi menjayakan misi ini serta saya memang peminat bola sepak dengan perkara pertama dilakukan apabila diangkat menjadi Ahli Parlimen Setiawangsa ialah menubuhkan Setiawangsa Rangers,” katanya di Parlimen.

Beliau berkata, kebolehannya patut dinilai dari aspek pengurusan, pemasaran dan organisasi serta tidak melihat dirinya sebagai ahli politik.

Malah, katanya, kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkenaan larangan ahli politik menerajui persatuan sukan adalah sekadar cadangan dan bukan satu paksaan.

“Saya juga tidak terbabit dalam mana-mana pentadbiran anak syarikat kerajaan yang membolehkan saya kawal untuk diselewengkan dan sebagainya.

“Penyelengan turut boleh berlaku membabitkan sesiapa sahaja tanpa mengira pimpinan politik atau bukan, malah kebolehan mentadbir tidak semestinya membabitkan ahli sukan berjaya contohnya Zenidine Zidane yang dilihat cemerlang sebagai pemain dan jurulatih tetapi tidak pada aspek lain,” katanya.

Berkenaan tawaran sama daripada Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Nik Nazmi berkata, persaingan antara mereka adalah sihat dan tiada kaitan dengan politik.

“Beliau sahabat saya dan kita bersaing bukan dalam politik dan akan berlaku secara sihat,” katanya.


Pengarang :