SUKANKINI

Nik Nazmi tarik diri, bertanding Timbalan Presiden

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 6 NOV: Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, menarik diri bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dan menyatakan sokongannya kepada penyandang, Datuk Seri Adnan Md Ikshan.

Sehubungan itu, beliau hanya akan menawar diri untuk jawatan nombor dua dalam persatuan itu, iaitu Timbalan Presiden.

“Sebelum ini, saya sudah mengumumkan kesediaan untuk bertanding selaku Presiden KLFA, namun setelah mengambil kira pandangan serta pertemuan pelbagai pihak termasuk penyandangnya sendiri (Adnan), saya ambil keputusan bertanding sebagai Timbalan Presiden.

“Antara faktor utama keputusan ini dibuat pastilah bagi membolehkan saya timba pengalaman.

“Walaupun bertanding selaku orang nombor dua, saya dengan teguh hati percaya idea saya utarakan dapat diteruskan dan direalisasikan demi kemaslahatan, kelangsungan serta kemajuan KLFA,” katanya menerusi laman twitter, @niknazmi

Beliau berkata, peranan dimainkan Adnan dihargainya dalam membawa skuad Kuala Lumpur ke saingan Liga Super selepas kali terakhir layak, pada 2012 dan sebelum itu terpaksa bersaing dalam kancah Liga Perdana serta Liga FAM.

“Saya menyeru semua badan gabungan KLFA untuk memilih Adnan sebagai Presiden dan saya (Timbalan Presiden) serta saya akan berusaha sedaya upaya menjalin kerjasama erat juga strategik dengan semua pihak bagi merealisasikan impian mengangkat martabat skuad Kuala Lumpur,” katanya.

faPada 1 November lalu, Nik Nazmi menawar diri bertanding jawatan Presiden KLFA dalam pemilihan persatuan itu, bermula 18 November ini.

Bagi pemilihan dua jawatan Timbalan Presiden, Nik Nazmi akan berdepan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar, yang menyatakan minat sama.

Ketika ini jawatan itu disandang Datuk Astaman Abdul Aziz dan Datuk Paduka Izudin Ishak.


Pengarang :