Selangorkini
NASIONAL

Nombor plat khas ‘Malaysia’ jana pendapatan RM13juta

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Nombor siri plat khas kenderaan ‘Malaysia’ yang diperkenalkan Ogos lalu menjana pendapatan RM13 juta untuk kerajaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penjualan nombor plat khas kenderaan yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan kerajaan itu menjana pendapatan kepada tabung kerajaan.

“Bagi nombor siri ‘Malaysia 1’ sahaja, kerajaan menjana RM1,111,111,” katanya menjawab soalan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ma’mun bertanya, sama ada nombor pendaftaran kenderaan istimewa yang selalu mendapat permintaan tinggi dapat dikenakan harga siling dalam pembelian terbuka kepada orang ramai.

Loke turut mengulangi bahawa nombor pendaftaran khas tidak lagi akan diberi kepada badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak persendirian.

Katanya, dasar baharu menetapkan semua nombor pendaftaran khas akan dikeluarkan oleh JPJ dan kerajaan sahaja.

“Sebelum ini apabila mereka (NGO dan persendirian) membuat permohonan, kerajaan benarkan mereka bayar RM1 juta kepada kerajaan padahal satu siri nombor boleh menjana mungkin RM10 juta, dan itu menyebabkan kerajaan ketirisan RM9 juta,” katanya.

Loke juga menegaskan kerajaan tidak bercadang menetapkan harga siling bagi nombor pendaftaran kenderaan.

-Bernama


Pengarang :