–fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Op Perdana: AADK tahan 108 individu positif dadah

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Lumpur menahan 108 individu disyaki positif mengambil dadah dalam Operasi Perdana Siri 9/2018, awal pagi ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 95 adalah lelaki manakala selebihnya wanita.

Beliau berkata, kesemua mereka gagal melepasi ujian saringan dadah selepas serbuan dilakukan di sekitar Program Perumahan Rakyat, di kawasan Brickfields, Cheras, Dang Wangi dan Sentul.

“Seramai 77 individu positif mengambil dadah jenis Methamphethamine, manakala 20 individu lagi positif dadah jenis THC serta 11 individu mengambil dadah jenis Opiate,” katanya lapor BERNAMA.

Katanya, operasi pada kali ini menumpukan kepada beberapa kawasan PPR dan perumahan awam, di ibu negara kerana ia dilihat sebagai kawasan berisiko tinggi (KBT) atau zon merah membabitkan aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan penduduk.

Katanya, sebanyak 178 KBT dikenal pasti di Malaysia dengan kesemuanya membabitkan kawasan PPR, terutama penyalahgunaan dadah.

“Kerajaan perlu menitikberatkan beberapa faktor penting apabila ingin menambah pembangunan PPR antaranya daripada segi keperluan penduduk seperti riadah yang mungkin dapat mengurangkan risiko penyalahgunaan dadah dalam kalangan penduduk,” katanya.

Beliau berkata, kesemua Orang Kena Tahan (OKT) berumur dalam lingkungan 13 hingga 40 tahun ke atas dan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (APD) (Rawatan dan Pemulihan) 1983, manakala selebihnya mengikut Seksyen 6 (2) akta yang sama.

KUALA LUMPUR, 1 Nov — Antara penagih dadah yang ditahan ketika serbuan dalam Ops Perdana di Projek Perumahan Rakyat Intan Baiduri malam tadi.
Hasil operasi itu, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menahan seramai 95 lelaki dan 13 perempuan kerana disyaki positif dadah.?–fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Operasi yang bermula pada jam 6 petang semalam turut disertai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan dan Jabatan Pendaftaran Negara dengan kekuatan 85 anggota.

Pada 25 Oktober lalu, AADK mengenalpasti 12 lokasi di seluruh negara yang dikategorikan sebagai zon merah, iaitu kawasan berisiko tinggi berdepan penyalahgunaan dadah berjaya diturunkan status kepada zon kuning dan zon hijau.


Pengarang :