NASIONAL

PAKATAN akan pulihkan sistem demokrasi

KOTA BHARU, 10 NOV: Pakatan Harapan (PAKATAN) memberi jaminan sistem demokrasi, di negara ini akan dipulihkan bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bagi melaksanakannya, kerajaan PAKATAN akan mengasingkan kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman, tidak seperti dilakukan pemimpin terdahulu.

“Kita (kerajaan) akan hormati pemisahan kuasa antara ketiga itu dan bukan seperti dilakukan pemimpin terdahulu yang tidak berbuat demikian sehingga bebas daripada segala undang-undang.

“Kuasa yang akhirnya akan menentukan adalah kuasa kehakiman bebas pengaruh pihak tertentu yang dahulunya mereka tidak dibawa ke muka pengadilan,” katanya ketika berucap pada majlis mesra bersama kepimpinan PAKATAN Kelantan di sini, menurut BERNAMA.

Beliau berkata, rakyat perlu memberi sokongan kepada kerajaan PAKATAN demi negara supaya tidak berulang kecurangan seperti sebelum ini.

Katanya, erti sebenar demokrasi adalah memberikan kebebasan sebenar kepada rakyat untuk membuat pilihan kerajaan dan ia terbukti pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Kerajaan juga berjanji untuk terus mengabdikan diri kepada rakyat dan berharap segala usaha ke arah kebaikan akan berhasil,” katanya.

Pada masa sama, PAKATAN yakin akan berjaya menawan Kelantan pada pilihan raya umum akan datang berdasarkan kepada sambutan rakyat negeri itu terhadap kerajaan kini.

 


Pengarang :