Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Pakatan Harapan angkat martabat wanita

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 NOV: Manifesto Pakatan Harapan pada Pilihanraya Umum ke 14 (PRU) jelas mengangkat martabat wanita dari segi sosial, kebajikan, sosioekonomi dan kepimpinan.

Perwakilan Selangor, Nurainie Haziqah Shafii berkata, ramai yang tidak mengetahui bahawa KEADILAN mempunyai klausa khusus yang termaktub dalam perlembagaan Parti demi pemberdayaan dan pengupayaan golongan wanita.

Katanya, dokumen Agenda Wanita Malaysia yang dibentuk menjadi asas kepada visi Pakatan Harapan untuk golongan wanita di Malaysia.

“Klausa 5.14 ini menyatakan ‘Mengiktiraf martabat dan peranan wanita sebagai tonggak dan penggerak masyarakat, menghayati falsafah hormat wanita, memastikan wanita bebas daripada diskriminasi dan eksploitasi.

“Juga mengupayakan wanita untuk mencapai kesaksamaan dalam kepimpinan dan pembuat keputusan dengan sekurang-kurangnya penglibatan 30 peratus demi memastikan hak dan kepentingan mereka terpelihara,”’katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perwakilan bagi negeri Selangor di Kongres Nasional KEADILAN Ke 13, di IDCC, di sini.

Nurainie Haziqah berkata, agenda itu membuktikan KEADILAN adalah parti yang komited mengangkat martabat dan suara wanita.

Katanya, PRU-14 dan Pemilihan KEADILAN jelas menunjukkan peningkatan penglibatan wanita dalam posisi pembuat keputusan.

“PRU-14 akan sentiasa diingati sebagai pilihanraya yang memenangkan Timbalan Perdana Menteri Wanita pertama Malaysia dari Parti KEADILAN.

“Selangor terus menjuarai isu wanita apabila menjadi hanya negeri yang berupaya memenuhi penglibatan 30 peratus wanita dalam barisan EXCO.

“Di peringkat Parti juga, Selangor berjaya mencatatkan tiga Ketua Cabang Wanita dan Kepimpinan Wanita KEADILAN penggal lepas dan yang terbaharu turut diungguli wanita wanita dari Selangor,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar kepimpinan KEADILAN yang baharu akan terus meletakkan agenda pemberdayaan dan pengupayaan wanita sebagai agenda utama.

Katanya, Wanita harus diberi peluang mengisi jawatan-jawatan penting dan diberi peluang mengangkat suara golongan wanita.

“Malah, KEADILAN harus maju ke hadapan dan menjadi peneraju meletakkan lebih ramai calon Wanita di PRU-15 nanti,” katanya.


Pengarang :