GLOBAL

Palu ‘dipalu’ banjir lumpur

KOTA PALU 20 NOV: Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, kesan luka akibat bencana gempa bumi dan tsunami pada 28 September lepas masih belum sembuh, masyarakat Palu kini dilanda pula banjir lumpur melibatkan beberapa kawasan di pinggir bandar ini.

Antara perkampungan yang terjejas teruk ialah Desa Bangga di Sigi kira-kira 100 kilometer dari kota Palu.

Tinjauan Bernama mendapati banjir setinggi lebih dua meter itu turut menghakis tanah dan menyebabkan pokok tumbang sehingga mengakibatkan kemusnahan yang teruk.

Ketua Kampung Desa Bangga, Jalil Mahawali berkata, banjir itu merupakan yang terburuk sepanjang 39 tahun dia menetap di perkampungan tersebut.

“Di Desa Bangga memang pernah berlaku banjir tetapi tidak seteruk ini hinggakan ada beberapa rumah turut dihan­yutkan banjir lumpur,” katanya kepada wartawan Malaysia ketika ditemui di perkampungan itu di sini hari ini.

Jelasnya, kejadian gempa bumi tempoh hari menyebabkan sebahagian gunung di hulu sungai runtuh dan hujan lebat menyebabkan sisa tanah daripada runtuhan itu turut dibawa air hujan, sekali gus menyebabkan banjir besar tersebut.

Kejadian gempa bumi kuat dan tsunami itu dilapor me­ngorbankan sekurang-kurang­nya 2,000 penduduk.

Jalil berkata, bencana banjir lumpur itu menjejaskan hampir 2,000 mangsa dan menenggelamkan lebih 300 buah rumah, namun kejadian tiada korban dilaporkan.

Sementara itu seorang mangsa, Abdurrahman Idrus, 56, berkata, dia tidak dapat melupakan kejadian melihat rumah yang dibina berhampiran sungai ditenggelami air hingga mencecah bumbung.

“Kejadian berlaku pada pukul 9 malam, Jumaat lalu. Hujan turun dengan lebat dan kurang sejam tiba-tiba air sungai naik dengan cepat.

“Pada mulanya ­ingat hanya air biasa tetapi sangkaan saya meleset apabila melihat rumah jiran yang diperbuat daripada kayu hanyut ditelan arus deras,” katanya sambil menunjukkan rumahnya yang dibina lima tahun lepas turut di­tenggelami banjir lumpur.

Prihatin dengan nasib penduduk, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang masih berada di sini, bertindak menghulurkan bantuan segera.

Timbalan Pengarah Jakim, Dr. Yamin Ismail berkata, pihaknya dan Mapim sedang mengumpul data terperinci berhubung kerosakan agar bantuan secara sistematik dapat diagihkan.

Jakim dan Mapim kini dalam misi kemanusiaan menghantar bantuan bernilai RM2.3 juta kepada mangsa bencana gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah.

SUMBER: BERNAMA

 

 


Pengarang :