SELANGOR

Pameran Hartanah Selangor 2018 tawar pelbagai unit menarik

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 10 NOV: Pameran Hartanah Selangor 2018 yang berlangsung selama empat hari mulai 8 hingga 11 November ini, di Setia City Mall, di sini, menawarkan pelbagai jenis projek hartanah menarik, khususnya di Selangor yang berpotensi dimiliki orang ramai.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, seramai 16 pemaju terdiri daripada syarikat besar menyertai pameran itu bagi mempromosikan secara meluas dan menjual unit hartanah yang masih belum terjual, di negeri ini.

Katanya, ia memberi pendedahan kepada bumiputera untuk mendapatkan akses berhubung kuota yang diperuntukkan dan prospek sebenar hartanah bumiputera terbabit.

“Kita memiliki unit rumah yang boleh dibeli di bawah harga kawalan menerusi program Rumah Selangorku dengan tawaran harga serendah RM42,000 hingga RM250,000 seunit, termasuk rumah harga bebas.

“Pameran ini merangkumi hartanah yang terletak di lokasi strategik sekitar Lembah Klang dan tidak ketinggalan di kawasan luar Lembah Klang seperti Kuala Selangor, Sepang serta Kuala Langat.

“Malah, tawaran terbuka ini turut mempromosikan hartanah kos tinggi seperti pangsapuri, kondominium dan banglo termasuk kedai pejabat, SOHO serta pangsapuri perkhidmatan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan pameran berkenaan yang turut dihadiri Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Nazmi Osman, di sini, hari ini.

Sementara itu, Nazmi berkata, penganjuran kali keenam itu membuktikan Kerajaan Negeri sentiasa berusaha mengimbangi keperluan pembeli dan pemaju perumahan, di Selangor melalui pelbagai mekanisme dengan mengambil kira kepentingan semua pihak.

“Pameran ini amat bermanfaat bukan sahaja kepada pembeli, malahan dilihat turut memberi faedah kepada pemaju dan semua pihak terbabit sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam industri perumahan di negeri ini.

“Pada masa sama, ia menjadi pemangkin bagi membantu pemaju memasarkan pelbagai jenis hartanah yang belum terjual ke arah menggalakkan dan meningkatkan industri perumahan,” katanya.


Pengarang :