SELANGOR

Papan tanda Mandarin bukan keputusan MMKN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 OKT: Isu pemasangan papan tanda Bahasa Mandarin tidak pernah dibangkitkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Sebaliknya, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perkara itu diputuskan pada 2017 di peringkat EXCO Kerajaan Tempatan sahaja.

“Saya sudah mengarahkan Ng Sze Han, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru untuk mengkaji dasar itu supaya tidak menimbulkan polemik tidak perlu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada akhbar Berita Harian kerana membetulkan tajuk beritanya sebelum ini.

Sementara itu, Sze Han ketika dihubungi SelangorKini berkata, satu kajian berkaitan dasar membabitkan isu terbabit akan dijalankan supaya tidak menimbulkan sebarang polemik, pada masa akan datang.

“Kajian akan dibuat dengan mengambil kira semua aspek penting,” katanya.

Terdahulu, papan tanda Bahasa Mandarin di beberapa batang jalan sekitar Subang mencetuskan polemik.

Berita Harian kemudiannya tersalah tafsir kononnya Amirudin mendakwa keputusan itu dibuat pentadbiran sebelum beliau.


Pengarang :