SELANGOR

Papan tanda: MB junjung kasih titah DYMM Sultan Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 NOV: Kerajaan Negeri menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengarahkan semua papan tanda bahasa Cina di Shah Alam digantikan dengan Bahasa Melayu sahaja.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri komited memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Katanya, pihaknya juga sedang menunggu kertas siasatan menyeluruh berkenaan perkara terbabit.

“Kita menjunjung kasih titah tuanku dan Kerajaan Negeri komited memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Arahan penukaran bahasa itu tidak diberi melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, oleh itu, saya perlu semak semula keputusan itu kerana keputusan itupada 2017,” katanya ketika ditemui.

Isnin lalu, Sultan Selangor menitahkan supaya semua papan tanda di Shah Alam yang mempunyai tulisan bahasa Cina ditanggal dan digantikan dengan papan tanda jalan dengan satu bahasa sahaja iaitu bahasa Melayu.

Arahan itu disampaikan oleh Setiausaha Sulit baginda, Dato’ Mohamad Munir Bani menerusi surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Operasi penukaran papan tanda jalan itu hendaklah dilaksanakan dengan segera dan dapat diselesaikan selewat-lewatnya sebelum tarikh sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-73 Sultan Selangor iaitu pada 11 Dis ini.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai Twitter milik seorang penduduk Shah Alam yang mempersoalkan kewajaran papan tanda nama jalan di kawasannya ditulis dengan bahasa Cina.

Individu berkenaan turut mempersoalkan ke mana menghilangnya tulisan Jawi yang sebelum ini digunakan pada papan tanda nama jalan itu.


Pengarang :