SELANGOR

Papan Tanda: Semua pihak perlu akur titah Sultan

PUTRAJAYA, 20 NOV: Semua pihak perlu akur dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu semua papan tanda di Bandaraya Shah Alam diselaraskan kepada bahasa Melayu sementara semua papan tanda bahasa Cina ditanggalkan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, papan tanda dengan tulisan bahasa Melayu wajar dikekalkan dan rasional bagi memudahkan semua rakyat membaca.

“Bagaimanapun, keputusan berkaitan papan tanda berkenaan adalah di bawah bidang kuasa negeri,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya mengarahkan tindakan segera diambil bagi mengantikan semua papan tanda bahasa Cina ditukar ke bahasa Melayu.

Surat sama turut disisi kepada Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Kandungan surat itu juga memaklumkan bahawa penukaran papan tanda itu hendaklah dilakukan selewat-lewatnya sebelum tarikh sambutan ulang tahun Hari Keputeraan ke-73 Sultan Selangor, pada 11 Disember depan.

-Bernama


Pengarang :