SELANGOR

Pasang ‘flap gate’ elak air melimpah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA SELANGOR, 16 NOV: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Selangor memasang ‘flap gate’ di kawasan parit Jalan Bahagia Kampung Bukit Hijau, di sini, bagi mengurangkan limpahan air dari sungai.

Ahli Dewan Negeri Jeram, Shaid Rosli berkata, penyelesaian jangka pendek itu juga bagi mengatasi masalah banjir yang kerap melanda kawasan terbabit setiap kali tiba musim hujan.

Katanya, ia berpunca daripada aliran air sungai dari kawasan Sungai Buloh.

“Parit di kampung ini menjadi laluan air terus ke laut dan hujan yang lebat menyebabkan limpahan berlaku di kawasan rendah.

“Malah, buat masa ini air laut sedang berada pada paras tinggi, jadi ia menyebabkan aliran air menjadi perlahan,” katanya.

Mengulas lanjut, Shaid berkata, sebelum ini penduduk membangkitkan aduan berhubung penyelenggaran yang seharusnya dijalankan di parit berkenaan.

Katanya, tetapi kerja pengorekan tidak dapat dijalankan memandangkan air sungai berada pada paras yang tinggi.

“Jadi kena tunggu surut baru boleh menjalankan kerja pengorekan parit ini,” katanya.


Pengarang :