SELANGOR

Pasukan COMBI beri impak positif kurangkan denggi

OLEH AFIX REDZUAN

SEMENYIH, 4 NOV: Penubuhan pasukan Perubahan Tingkah Laku (COMBI) berjaya mengurangkan penularan denggi di Pangsapuri Baiduri Bandar Tasik Kesuma menerusi aktiviti gotong-royong selama enam minggu berturut-turut.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB), Mustaffa Othman berkata, langkah kesedaran kepada penduduk secara berterusan perlu diberikan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang memandangkan untuk tahun ini sahaja tujuh orang penduduk menghidapi demam denggi.

“Kita mengadakan aktiviti gotong royong sebagai usaha memberikan kesedaran kepada penduduk sekiranya tidak kawal, nyamuk aedes boleh membiak dengan mudah dan tercetusnya demam denggi.

“Alhamdulillah, gotong-royong enam minggu sebelum ini berjaya kurangkan kes denggi dan diharapkan keadaan ini kekal demi keselesaan penduduk bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pencegahan Denggi UKM-BASF dan MPKj Bersama JMB/KRT Fasa 6 yang disertai hampir 400 penduduk di Dewan Blok N, Pangsapuri Baiduri Bandar Tasik Kesuma, Semenyih dan disempurnakan Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus.

Menurutnya, Pangsapuri Baiduri ini memiliki 24 blok dan didiami hampir 12,000 pernah menjadi kawasan tumpuan denggi selama 77 hari.

Mengulas mengenai Program Pencegahan Denggi UKM-BASF Malaysia Sdn Bhd dan MPKj Bersama JMB/KRT Fasa 6, ia turut disertai hampir 20 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Selain gotong-royong, antara aktiviti lain yang dianjurkan termasuklah pemeriksaan dari rumah ke rumah, senamrobik, cabutan bertuah, pertandingan mewarna dan sukan rakyat serta pameran kesedaran daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).


Pengarang :