NASIONAL

Patuhi disiplin parti jika tidak mahu ditendang keluar

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 NOV: Semua anggota KEADILAN diberi amaran supaya mematuhi disiplin parti terbabit dan bersedia ditendang keluar jika gagal.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau perlu bersikap tegas dan adil selepas melihat proses pemilihan parti yang berlangsung selama tiga lalu.

Beliau turut sedih melihat tindak tanduk segelintir ahli parti yang menyebarkan cerita negatif, caci maki dan membuat tuduhan tidak berasas lebih lagi membabitkan persaingan jawatan Timbalan Presiden.

“Saya mesti selesaikan masalah disiplin parti ini, bukan sahaja semasa atau di luar pemilihan. Saya perlu bertindak tegas. Bersedia ditendang keluar jika tidak mengikut disiplin parti. Jika mahu buat undi tidak percaya kepada saya, silakan.

“Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Rafizi tiada masalah tetapi mereka yang bertindak seperti macai, mereka sibuk caci maki, mencerca dan menghasut.

“Sikap seperti ini tidak layak untuk menjadi pemimpin. Saya baca laporan sepanjang tiga bulan pemilihan. Saya lihat gambar ahli bergaduh. Saya sedih. Tapi boleh anda nafikan sumbangan Azmin dan Rafizi kepada parti? Tidak perlu pun mencerca,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan Kongres Nasional Keadilan ke-13, di sini.

Pada masa sama, Anwar berkata, sebagai Presiden beliau akan memastikan matlamat dan agenda parti berkenaan akan direalisasi.

Katanya, agenda reformasi akan meneruskan perjuangan membela keadilan lebih lagi golongan kurang berkemampuan.

“Saya tidak mahu menjadi Presiden, lebih baik jadi Ketua Umum, jawatan tinggi tetapi tanggungjawab kurang. Tapi ramai bertemu saya meminta jadi presiden.

“Malah, isteri saya pesan, jangan buat perwakilan terkejut dengan ucapan saya, namun saya tidak peduli. Saya akan lebih tegas dan bertanggungjawab memimpin parti,” katanya.


Pengarang :