BERITA UTAMASELANGOR

Pavilion Selangor perkenal konsep taman dan teknologi pertanian

OLEH AFIX REDZUAN

SERDANG, 23 NOV: Pavilion Selangor mengetengahkan empat konsep iaitu Teknologi, Tanaman Bernilai Tinggi (High Value Crop), Agrotourism dan Kebudayaan serta Halal Ekosisitem sebagai simbolik pameran bersempena MAHA 2018.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, konsep ini selari dengan fokus utama Kerajaan Negeri yang menekankan pembangunan pertanian ke arah Revolusi Pertanian 4.0 (AR 4.0).

“Kita tekankan konsep taman sebab itu pengunjung boleh lihat banyak bunga, buah buahan dan sayur-sayuran.

“Kita ingin tonjolkan Selangor sebagai ‘Fruit Valley’ kerana kita ingin beri perhatian terhadap usaha meningkatkan hasil buah-buahan.

“Kita juga perkenalkan madu kelulut projek lain sebagai hasil terbaru yang akan dikeluarkan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, sambutan diterima di Palivilion Selangor sangat menggalakkan kerana berada pada kedudukan strategik berdekatan jalan utama yang memudahkan kehadiran pengunjung.

Selain itu, turut diadakan pameran teknologi pertanian seperti tisu kultur dan dron padi, pameran haiwan ternakan seperti kuda, keldai dan bebiri serta simulasi penggunaan dron.

Turut menarik perharian adalah replika pokok yang dibina menggunakan sayur-sayuran seperti petola, terung dan cili serta binaan Rumah Api Bukit Melawati.

Pengunjung juga berpeluang untuk membeli produk keluaran tempatan di bahagian Selangor Agro Market dan Makanan Popular Negeri Selangor.


Pengarang :