SELANGOR

Paya Jaras dapat hadiah terbesar dalam sejarah

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 NOV: Pelbagai peruntukan kepada penduduk Paya Jaras melalui Belanjawan Selangor 2019 disifatkan sebagai hadiah terbesar dalam sejarah kawasan itu.

Ahli Dewan Negerinya, Mohd Khairuddin Othman berkata, ia merujuk kepada pembinaan 1,400 unit projek Rumah Selangorku, projek tebatan banjir bernilai RM50 juta dan RM8 juta untuk laluan alternatif.

“Ini (peruntukan) paling besar pernah Paya Jaras terima yang juga merupakan manifesto saya dalam kempen pilihan raya umum lalu.

“Saya juga tidak menyangka Dato’ Menteri Besar mendengar keluhan rakyat Paya Jaras,” katanya kepada SelangorKini, di lobi Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau yang juga Timbalan Speaker DNS akan mencadangkan kepada Kerajaan Negeri supaya memberi keutamaan kepada penduduk Sungai Buloh untuk membeli rumah mampu milik, di kawasan berkenaan.

Beliau juga berharap peristiwa banjir besar yang berlaku beberapa minggu lalu dapat dielakkan selepas projek tebatan banjir siap kelak.

“Selain itu, saya juga sedang mengusahakan beberapa projek pembangunan seperti pasar bertingkat,” katanya.


Pengarang :