NASIONAL

PDRM akan panggil Waytha Moorthy beri keterangan

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Polis akan mengambil keterangan P Waytha Moorthy, berhubung klip video kenyataannya yang didakwa memfitnah dan mengaibkan Malaysia, di luar negara yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membolehkan pihaknya memperoleh maklumat lanjut berkenaan asas dakwaan dan kandungan klip video terbabit.

“Kita akan panggil beliau dalam masa terdekat bagi mengenal pasti dakwaan dibuat itu diperoleh dari mana dan dibuat berasaskan apa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Pengurusan, Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini, lapor BERNAMA.

Video berdurasi 2 minit 39 saat itu menunjukkan Waytha Moorthy membuat kenyataan menerusi wawancara dengan sebuah rancangan televisyen luar negara dengan menuduh kononnya Malaysia menindas penganut Hindu dan masyarakat India.

Pada masa sama, Noor Rashid berkata, polis juga akan memanggil Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah, bagi membantu siasatan membabitkan catatan beliau bertajuk ‘Kementerian Pertahanan Kini Berada Dalam Tekanan dan Ancaman’ yang dimuat naik di laman sesawang.

“Polis ambil berat isu ini dan kita akan panggil penulis (Azwanddin) kerana ia menyentuh keselamatan negara,” katanya.

Sementara itu, katanya, ​​​​​​​polis menerima lebih 150 laporan polis berkaitan isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan akan menyiasat kes berkenaan dari segala aspek.

“Kita sudah buka kertas siasatan dan akan panggil beberapa individu dalam masa sesuai untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan, “ katanya.


Pengarang :