SELANGOR

PDT Sabak Bernam sokong Local Agenda 21

OLEH AFIX REDZUAN

SABAK BERNAM, 9 NOV: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyempurnakan Gimik Pelancaran Program Local Agenda 21 #alamsekitar dengan menanam Pokok Beruas di hadapan Dewan Seri Bernam.

Aktiviti penanaman pokok itu turut disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim dan Pegawai Daerah dan Tanah (PDT) Sabak Bernam, Nasir Mamat.

Simbolik penanaman pokok ini sebagai tanda sokongan Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam terhadap program Local Agenda 21

Local Agenda 21 adalah program yang menekankan tiga pihak iaitu PDT Sabak Bernam, masyarakat dan sektor swasta bekerjasama merancang dan menguruskan kawasan persekitaran mereka ke arah pembangunan mampan serta kualiti hidup yang lebih tinggi.

Keutamaan program ini adalah pengawalan pencemaran, kitar semula, pengurusan sisa pepejal, kebersihan (persekitaran dan tandas awam), integrasi sosial serta bandar selamat.

Pelaksanaan Program LA21 di negara ini menunjukkan sokongan Malaysia kepada deklarasi Earth Summit di Rio de Janeiro, Brazil, 1992 ke arah pembangunan mampan.

Bagi memastikan pelaksanaannya dapat diterimapakai di semua PDT, kerjasama dari semua pihak haruslah ditingkatkan terutamanya komitmen daripada PDT di samping sokongan pihak Kementerian.

Melalui pelaksanaan terancang dan teratur, persekitaran hidup di sesebuah kawasan dapat ditingkatkan untuk faedah bersama.

 


Pengarang :