SELANGOR

PEKAWANIS jadi rujukan HARWANIS

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 NOV: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) menerima kunjungan hormat daripada Pertubuhan Amal Isteri Wakil Rakyat Pakatan Harapan Melaka (HARWANIS), di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, di sini, hari ini.

Pengerusi HARWANIS, Dalilah Awaludin berkata, kunjungan itu bagi merapatkan silaturahim dan menjadikan PEKAWANIS sebagai penanda aras pelaksanaan program kebajikan rakyat.

“Kita akan menjadikan PEKAWANIS sebagai rujukan apabila ingin melaksanakan program, di Melaka memandangkan HARWANIS masih terlalu baharu dan belum mempunyai ramai ahli.

“Misi HARWANIS juga sama dengan PEKAWANIS, iaitu lebih memfokuskan terhadap kebajikan rakyat di negeri masing-masing,” katanya yang juga isteri kepada Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Sementara itu, Yang Dipertua PEKAWANIS, Masdiana Muhamad meluahkan rasa terharu atas kunjungan hormat HARWANIS dan optimis ia bakal berterusan.

Beliau turut memuji usaha HARWANIS yang ingin mengetengahkan program mereka lebih ke hadapan.

“Selepas ini, kita akan berbincang dengan lebih mendalam lagi dan mungkin akan bekerjasama untuk melaksanakan pelbagai program walaupun berlainan negeri,” katanya yang merupakan isteri Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

 


Pengarang :