NASIONAL

Pelajar lolos kerana belum sesuaikan diri

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Tidak dapat menyesuaikan diri antara faktor yang mendorong pelajar perempuan Sekolah Tunas Bakti, di Kedah lolos dari asrama, baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, lima daripada tujuh pelajar yang meloloskan diri sudah ditemui, sementara dua lagi masih belum dikesan.

“Kejadian ini berlaku kerana penuntut masih tidak faham tujuan mereka ditempatkan di situ.

“Hakikatnya ia bagi mengubah kehidupan mereka kepada lebih baik,” katanya dalam sidang media ketika mengadakan sesi lawatan ke Sekolah Tunas Bakti (L) Sungai Besi, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan akan mengambil tindakan mengikut prosedur operasi standard.

Terdahulu, media melaporkan pelajar perempuan dari Asrama Akhlak Perempuan, Jitra dekat Kubang Pasu melarikan diri dari asrama itu, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Mohd Ismail Ibrahim berkata, kejadian kira-kira jam 1 pagi itu disedari pembantu kebajikan masyarakat selepas menerima aduan daripada penghuni lain, pada jam 1.17 pagi.

Semasa kejadian, pengadu bersama seorang lagi rakannya menerima aduan daripada penghuni lain yang memaklumkan terdapat tujuh penghuni melarikan diri dengan memecahkan siling bumbung tandas asrama berkenaan.

Kes disiasat mengikut Sekyen 224 Kanun Keseksaan.


Pengarang :