NASIONALSENI

Pelakon Zaibo meninggal dunia pada usia 62 tahun

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Pelakon Zaibo atau nama sebenarnya Zainal Ariffin Abd Hamid, 62, yang menghidap kanser esofagus meninggal dunia pada 1.30 tengah hari tadi di kediamannya di Rengit, Batu Pahat, Johor hari ini.

Berita berkenaan disahkan oleh isteri Allahyarham, Siti Hawa Sawal, 52, ketika dihubungi Bernama.

“Arwah akan dikebumikan selepas solat isyak hari ini,” katanya ringkas.

Sementara itu, Setiausaha Agung Seniman Hafiz Nafiah berkata jenazah Zaibo akan dimandikan dan disolatkan di rumah Allahyarham di Rengit Batu Pahat, Johor sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rengit.

Menurutnya, Allahyarham telah banyak berlakon dalam drama dan filem tempatan dengan pelbagai watak yang mencuit hati penonton serta meninggalkan kesan kepada penonton.

“Seluruh kepimpinan tertinggi dan Exco Seniman Malaysia serta ahli-ahli Seniman mengucapkan salam takziah kepada keluarga arwah Zaibo,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara drama yang dibintangi Allahyarham ialah sitkom Spanar Jaya, Under One Roof dan Anna And The King.

Pada Isnin, Tunku Puteri Johor Tunku Aminah Sultan Ibrahim bersama suami baginda Dennis Muhammad Abdullah berkenan meluangkan masa melawat Allahyarham Zaibo di kediamannya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :