SELANGOR

Pemaju perlu promosi Rumah Selangorku

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 NOV: Pemaju Rumah Selangorku perlu mempromosikan projek yang dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi memudahkan bakal pembeli membuat semakan dan memohon rumah berkenaan.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, melaluinya, ia dapat memacu serta mencapai matlamat Kerajaan Negeri untuk merancang serta memperbanyakkan projek rumah mampu milik berkenaan.

Katanya, selain pemantuan pembinaan projek, Kerajaan Negeri juga menguat kuasakan pemantauan aktiviti pemasaran yang dibuat pemaju.

“Bagi memastikan pembinaan Rumah Selangorku terutama Jenis A di bina, Kerajaan Negeri sentiasa memantau pelaksanaan pembinaan Rumah Selangorku melalui Jawatankuasa Pemantauan Pembinaan Hartanah Harga Terkawal.

“Jika pemaju tidak membina atau sengaja melewatkan pembinaan Rumah Selangorku, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan akan mengeluarkan ‘stop work order’ dan tidak menyokong pengeluaran Sijil Perakuan dan Pematuhan (CCC).

“Kerajaan Negeri juga tidak meluluskan permohonan Kebenaran Merancang bagi pembangunan perumahan harga bebas atau lain-lain pembangunan jika syarat itu tidak dilaksanakan,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Berdasarkan Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangorku (Rumah Selangorku 2.0) yang berkuat kuasa bermula April lalu, mana-mana tanah atau tapak cadangan yang terletak di zon 1 pembangunan dengan keluasan melebihi lima ekar dan ke atas dikenakan syarat penyediaan 10 peratus Rumah Selangorku Jenis A.

Manakala, bagi zon 2 pembangunan yang berkeluasan 20 ekar ke atas turut dikenakan 10 peratus Rumah Selangorku Jenis A serta bagi zon 3 yang berkeluasan 50 ekar dan ke atas juga dikenakan 10 peratus Rumah Selangorku Jenis A.

Katanya, penyediaan Rumah Selangorku Jenis A disyaratkan kepada semua pemaju perumahan sama ada terdiri daripada pemaju swasta, kerajaan atau Anak Syarikat Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

 


Pengarang :