Pembabitan ABIM dalam BERSIH 2.0 jaya Reformasi-Islahiy | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Norway

Wartawan

Hafizan Taib

Pembabitan ABIM dalam BERSIH 2.0 jaya Reformasi-Islahiy

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 2 NOV: Pembabitan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dalam Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) 2.0 adalah sokongan dan komitmen bagi menjayakan agenda Reformasi-Islahiy menerusi sistem demokrasi, di negara ini.

Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, di sebalik optimisme terjelma dalam era Malaysia Baharu, ABIM komited untuk menjayakan agenda pencerdasan dan pendemokrasian rakyat.


“Berpegang kepada fatwa Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi iaitu mengundi adalah sebuah kesaksian, ABIM atas kapasitinya sebagai Badan Masyarakat Madani BERSIH, menolak keras usaha memanipulasi sistem politik menafikan amalan demokrasi berasaskan pilihan raya secara tulen dilaksanakan di negara ini.

“ABIM menyuarakan sokongan terbuka serta menggesa seluruh rakyat berpartisipasi dalam semua perhimpunan aman BERSIH sejak awal penubuhannya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian merujuk pelantikan Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz sebagai Timbalan Pengerusi BERSIH 2.0, pada 30 Oktober lalu.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 pada 25 Mei tahun lalu, beliau berkata, ABIM dan BERSIH melancarkan inisiatif filem pendek bertajuk ‘Buang’ untuk menarik minat generasi muda tampil mendaftar sebagai pengundi.

Katanya, komitmen ABIM terhadap amalan politik berintegriti tidak hanya terfokus pada pengendalian pilihan raya semata-mata, malah kepada pendidikan demokrasi, politik dan kewarganegaraan.

“Pembabitan ABIM dalam BERSIH dan lapangan masyarakat madani adalah komitmen bagi menjayakan agenda Reformasi-Islahiy dengan memperjuangkan isu pendidikan demokrasi, kewarganegaraan, kebebasan, keadilan, hak asasi dan kedaulatan undang-undang.

“Dalam era ini, adalah menjadi harapan supaya platform BERSIH serta institusi masyarakat dapat berperanan secara konstruktif ke arah mengisi kerangka baharu kenegaraan Malaysia untuk menaungi kepentingan rakyatnya,” katanya.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next