SELANGOR

Pembinaan Kompleks Baharu Uptown Shah Alam mohon dipercepatkan

SHAH ALAM, 13 NOV: Pembinaan kompleks baharu bazar larut malam ‘Uptown’ Shah Alam yang dijadual siap Oktober tahun hadapan dimohon dipercepatkan bagi mengelakkan kejadian kebakaran seumpamanya berulang sehingga menjejaskan pendapatan peniaga di situ.

Perkara berkenaan disuarakan Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad yang menyatakan kompleks dengan binaan kekal itu pastinya akan dilengkapi prasarana serta sistem pendawaian terbaik malah jauh lebih selamat berbanding struktur semasa.

“Saya akan semak mengenai isu pembinaan kompleks baharu Uptown ini dengan kerajaan Selangor serta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengenai sejauh mana perkembangan dan kemajuan projek tersebut kerana kita pun nak tahu kenapa macam lambat sangat.

“Walaupun struktur semasa ini jauh lebih baik daripada binaan asal Uptown, namun ia tetap struktur sementara. Peniaga pastinya mengharapkan bangunan kekal yang mana ia dilihat jauh lebih selamat,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak perniagaan Uptown Shah Alam yang terbakar di Seksyen 24, di sini malam tadi.

Tambah Menteri Wilayah itu lagi, disebabkan perniagaan di bazar larut malam itu dilihat banyak menarik golongan muda menceburi bidang keusahawanan, penyediaan platform antaranya seperti prasarana yang baik perlu diberi perhatian pihak berwajib.

Katanya, ia sekurang-kurangnya dapat membantu peniaga muda yang baru berjinak-jinak dalam dunia keusahawanan keluar daripada zon selesa dengan meraih pendapatan secara ‘makan gaji’.

Beliau turut menyarankan kepada peniaga yang terjejas dalam insiden kebakaran itu supaya segera menyenaraikan jumlah kerugian yang dialami bagi memudahkan pihaknya selain Kerajaan Negeri menghulurkan bantuan sewajarnya.

Dalam kejadian kebakaran pada 5.30 pagi semalam, sebanyak 28 lot perniagaan di blok pertama dan blok kedua di Uptown itu terbakar 100 peratus manakala tujuh lot lagi di blok ketiga terbakar 50 peratus namun insiden terbabit tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Kebakaran berkenaan merupakan insiden ketiga berlaku di bazar larut malam itu selepas kali pertama berlaku pada 2014 membabitkan 196 kedai dan kali kedua membabitkan empat kedai pada 2016.

Pada Mei 2017, PKNS menyatakan sebanyak dua blok bangunan dua tingkat berkonsepkan seni bina ‘Bugis Moden’ yang menekankan ciri-ciri keselamatan dengan kemudahan menyeluruh serta ruang perniagaan lebih selesa untuk peniaga dan pengunjung akan dibina mulai Oktober 2017 dan dijangka siap pada Oktober tahun depan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :