SELANGOR

Pemeriksaan awal boleh cegah kanser payudara kritikal

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KAPAR, 20 NOV: Pemeriksaan awal dapat mengurangkan risiko kanser payudara mencapai peringkat kritikal, sekali gus menepis stigma masyarakat kanser adalah hukuman mati.

Ketua Saringan Klinikal Kanser dan Kesihatan, Dr Dalilah Kamaruddin berkata, walaupun kanser adalah pembunuh utama, tetapi masih terdapat cara terbaik mencegahnya, jika wanita itu sentiasa peka melakukan saringan awal.

“Peluang untuk hidup adalah lebih 90 peratus kalau kita cegah seawal peringkat pertama, sebaliknya jika ia dikesan di peringkat lewat, maka peluang untuk diselamatkan adalah kurang 25 peratus.

“Malah, 60 peratus daripada mereka yang mengalami kes kanser, di Malaysia melakukan rawatan apabila berada di peringkat tiga dan empat, namun ia sudah terlambat yang akhirnya meninggal dunia,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kursus Keusahawanan dan Kesihatan anjuran Pusat Berdaya Wanita (PWB) DUN Meru serta Sementa, di Hotel Grand Kapar, di sini, hari ini.

Program itu memberi ruang kepada wanita memperbaiki taraf hidup ke arah lebih baik melalui pengurusan kewangan yang betul, selain meningkatkan pengetahuan berhubung kepentingan penjagaan kesihatan, khususnya kanser.

Mengulas lanjut, Dr Dalilah berkata, serangan kanser berkenaan di Malaysia terus menunjukkan peningkatan ketara dalam kalangan wanita ekoran tiada ‘push factor’ daripada individu itu sendiri.

Malah katanya, masih terdapat ramai wanita terutama mereka yang tinggal di kawasan pinggir bandar kurang mendapat kesedaran mengenai tanda awal serangan kanser payudara sehingga ia merebak ke tahap bahaya.

“Jadi, saya menyarankan supaya mereka meluaskan pemikiran dengan menimba pengetahuan yang betul mengenai kanser kerana ramai antara kita yang sekadar mendengar khabar angin pihak tertentu mengatakan kanser itu berpunca daripada virus.

“Kanser boleh dicegah kalau mereka berani tampil untuk membuat pemeriksaan peringkat awal dan tidak semua kanser itu ‘contagious’, cuma ada sesetengah kanser yang merebak secara virus,” katanya.

 

 


Pengarang :