NASIONAL

Pemilihan platform kuatkan parti, bukan pecah belah

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 10 NOV: Pemilihan parti sepatutnya menjadi platform menguatkan anggota KEADILAN, bukan memecahbelahkan antara satu sama lain.

Justeru, calon Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Amirudin Shari berkata, semua anggota perlu menjaga prinsip parti sama ada menang atau kalah, pada pemilihan kali ini.

Katanya, semua anggota perlu menjaga keharmonian dan muafakat antara satu sama lain kerana semangat itu yang membawa kejayaan kepada KEADILAN.

“Janganlah kerana pemilihan kali ini kita menghancurkan kejayaan yang dikecapi, contohnya Selangor pada 2008, KEADILAN berjaya menjadi menteri besar pertama kali, sehingga kemudian pada 2018 terus menang besar, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kejayaan ini bukan datang bergolek tetapi hasil kerja keras, konsisten dan istiqamah pimpinan keadilan akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Semarak Muafakat bersama kepimpinan KEADILAN Kuala Selangor di Hotel De Palma, di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan hampir 100 ahli KEADILAN Kuala Selangor.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar berkata, beliau turut berbangga dengan pemilihan KEADILAN, di Selangor yang berjalan lancar.

“Boleh dikatakan hampir 100 peratus pemilihan kali ini baik, cuma sedikit sahaja masalah teknikal, di Kuala Selangor.

“Sekali lagi saya ingin menyeru, menang atau kalah, jangan sesekali kita lupakan prinsip parti, kita bertembung keras, bertarung tajam, namun jangan dilupa KEADILAN ini lahir dari muafakat reformasi yang menginginkan Malaysia lebih baik,” katanya.


Pengarang :