NASIONAL

Pemilihan riuh kerana demokrasi, tak sorok bawah karpet

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 NOV: Beberapa kontroversi dalam proses Pemilihan KEADILAN 2018 membuktikan parti itu menghormati hak demokrasi setiap anggota parti dengan membenarkan teguran terhadap kepimpinan parti dibuat secara terbuka.

Timbalan Presiden, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keadaan ini juga membuktikan KEADILAN tidak menyorokkan isu yang berlaku seperti mana dalam pemilihan Umno.

“Mengapa saudara melihat riuh dan bising, kerana kita sangat demokratik, kita tak sorok bawah karpet, kita benarkan anggota bicara terbuka, tegur kepimpinan secara terbuka.

“Mungkin saudara melihat pelik kerana dah lama bawah Umno tidak berlaku sebegini tetapi kami dalam KEADILAN melihat ini suatu perkara yang sihat dan boleh mengurus secara bertanggungjawab dan saya yakin kita akan lebih kuat selepas pemilihan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kongres 2018 Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dan Wanita KEADILAN 2018 di IDCC di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, walaupun KEADILAN tidak pernah sunyi daripada ujian, namun kematangan kepimpinannya menyebabkan parti itu berjaya menyelesaikan pelbagai krisis sejak ia mula ditubuhkan dengan bertanggungjawab.

Katanya lagi, pelbagai perkara negatif dilemparkan kepada KEADILAN hanyalah persepsi pihak luar yang tidak memahami erti sebenar demokrasi.


Pengarang :