SELANGOR

Pemilik ingkar bersih kawasan rumah terbiar diberi notis

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 29 NOV: Notis akan dikeluarkan kepada pemilik yang ingkar membersihkan kawasan rumah terbiar mereka bagi mengelakkan kacau ganggu di kawasan perumahan.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menjalankan penguatkuasaan di bawah Seskyen 82, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

“Notis Menghendaki Kacau Ganggu Dihapuskan dikeluarkan kepada pemilik untuk membersihkan kawasan mereka.

“Sekiranya mereka ingkar notis, kerja pembersihan akan dilaksanakan oleh PBT dan segala kos yang terlibat akan dituntut daripada pemilik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan sesi soal jawab bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku, Lim Yi Wei di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Sze Han berkata, untuk pendekatan jangka pendek, PBT akan menjadikan amalan kerja pembersihan rumput dan semak samun di rumah terbiar serta terbengkalai itu sebanyak dua kali dalam tempoh setahun bertujuan mengelakkan kacau ganggu di kawasan perumahan tersebut.

Mengulas lanjut, Sze Han berkata, terdapat 4,907 rumah terbiar di sekitar Selangor mengikut daerah masing-masing.

Berdasarkan laporan jumlah bilangan rumah terbiar yang dilaporkan dari PBT masing-masing didapati terdapat 1,995 unit rumah terbiar di sekitar Majlis Bandaraya Shah Alam; Majlis Bandaraya Petaling Jaya (178); Majlis Perbandaran Klang (114) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (360).

Selain itu, Majlis Perbandaran Subang Jaya (568); Majlis Perbandaran Selayang (190); Majlis Perbandaran Kajang (119) dan Majlis Perbandaran Sepang (152).

Manakala, di Majlis Daerah Kuala Langat (988); Majlis daerah Hulu Selangor (63); Majlis Daerah Kuala Selangor (150) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (30).


Pengarang :