Pemimpin hebat meninggalkan legasi | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Norway

Wartawan

Nazli Ibrahim

Pemimpin hebat meninggalkan legasi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEORANG ketua belum tentu mampu memimpin dengan berkesan berbanding seorang pemimpin yang lazimnya bolwh menjadi ketua yang baik.

Lebih daripada itu, seorang pemimpin bukan sahaja mampu menjadi ketua yang baik, bahkan meninggalkan legasi yang terus dikenang dan dinikmati generasi, selepas itu.


Antara nama yang meninggalkan legasi besar kepada masyarakatnya adalah bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela, apabila perjuangannya berjaya menamatkan pemerintahan Apartheid, di negaranya.

Malah lebih daripada itu, beliau juga berjaya menjadikan Afrika Selatan sebagai negara yang disifatkannya sebagai negara berpelangi selain menjadi asas penting kepada kestabilan ekonomi dan politik, selepas itu.

Malaysia sendiri turut mempunyai pemimpin berjiwa besar yang meninggalkan legasi masing-masing untuk masyarakatnya.

Sebagai Perdana Menteri yang menerajui pentadbiran Kerajaan Persekutuan selama 22 tahun (1981-2003), maka sudah tentu banyak legasi yang ditinggalkan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk rakyat negara ini.

Di era beliau, negara ini membangun dengan pesat dengan pertumbuhan ekonomi yang sangat rancak.

Legasi yang ditinggalkan Dr Mahathir bukan semata-mata berbentuk struktur gah dan hebat yang menjadi mercu tanda negara seperti menara berkembar Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Litar Formula One Antarabangsa, di Sepang.

Malah, beliau berjaya meninggalkan beberapa legasi lain yang lebih holistik termasuk aspek pembinaan jati diri negara ini yang berani, tegas dan lantang selain berjaya membawa Malaysia kepada negara perindustrian daripada pertanian.

Kesannya, jutaan masyarakat hari ini berpeluang menyara hidup dengan peluang kerja, dalam sektor perindustrian.

Di mata dunia pula, Malaysia di era Dr Mahathir dilihat sebagai negara kecil tetapi tegas dan bersuara lantang mengecam mana-mana negara kuasa besar yang melakukan penindasan terhadap negara lain.

Kecaman ini kerap dilontarkan dalam persidangan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Negara Islam (OIC).

Kemuncaknya, enggan melihat negara membangun khasnya Malaysia sendiri dibuli negara maju, maka pada 1983 Dr Mahathir melancarkan kempen ‘Buy British Last’ sebagai tindak balas terhadap negara itu menaikkan yuran pengajian pelajar luar tiga kali ganda dan tidak memberi hak pendaratan tambahan kepada Malaysia Airlines.

British dikatakan bertindak demikian rentetan dimalukan dengan serangan mengejut Kuala Lumpur ke atas Kota London bagi mengambil alih syarikat perladangan terbesar, Guthrie yang dikenali sebagai ‘Dawn Raid’ pada 1981.

Dalam satu kejadian lain, pada tahun 1993 Perdana Menteri Australia ketika itu, Paul Keating, menggambarkan Dr Mahathir sebagai ‘keras kepala’ selepas memboikot Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Seattle sebaliknya mahu diwujudkan East Asia Economic Caucus.

Selain bertegas supaya East Asia Economic Caucus diwujudkan, tindakan Dr Mahathir itu juga disebabkan tidak senang melihat tindak tanduk Australia membuli negara Asia khasnya Indonesia dan sikap Australia sendiri yang menganggap mereka sebagai polis Amerika.

Walaupun Keating selepas itu meminta maaf di atas kelancangannya, namun permohonan maaf itu gagal menjernihkan hubungan Malaysia dan Australia.

Sementara itu di Malaysia sendiri, reaksi yang ditunjukkan rakyat terhadap ungkapan ‘keras kepala’ terhadap pemimpin mereka itu tidak seperti dijangkakan Australia.

Kebanyakan rakyat menganggapnya bukan sahaja tiada sebab untuk merasa malu, bahkan merasa bangga dengan pendirian tegas yang ditunjukkan Dr Mahathir yang tidak tunduk kepada negara maju dan ia sangat berbeza ketika era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Walaupun terdapat beberapa keputusan kerajaan di eranya yang menjadi pertikaian hebat, namun tidak boleh menafikan bahawa Dr Mahathir meninggalkan asas yang kukuh sebagai legasi untuk kepimpinan seterusnya.

Bagaimanapun, malangnya, dua Perdana Menteri selepas beliau gagal meneruskan legasi untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang terus disegani di mata dunia khasnya, di Asia.

Gerakan reformasi legasi terbesar Anwar 

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meninggalkan legasinya walaupun hanya menduduki kerusi Timbalan Perdana Menteri selama lima tahun (1993-1998) dan Menteri Kewangan selama tujuh tahun (1991-1998).

Sebelum itu, Anwar turut menjawat beberapa jawatan kabinet lain seperti Menteri Belia dan Sukan, Menteri Pertanian dan Menteri Pelajaran.

Antara legasi yang ditinggalkan Anwar, sebagai pencinta bahasa, beliau adalah menteri yang bertanggungjawab memperkenalkan Bahasa Malaysia Baku.

Selain itu, beliau juga banyak menerapkan nilai Islam dalam sistem ekonomi dan pendidikan negara dengan idea menubuhkan Bank Islam dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Di era beliau sebagai Menteri Kewangan juga penggunaan lambang ‘RM’ diperkenalkan bagi menggantikan simbol $ bagi mata wang Ringgit Malaysia.

Beliau juga mengarahkan supaya tiada lagi rumah kos rendah dua bilik, sebaliknya setiap projek perumahan kos rendah perlu sekurang-kurangnya tiga bilik bagi membendung kejadian sumbang mahram.

Ketika menjadi Menteri Kewangan, Malaysia menikmati kemakmuran ekonomi sehingga tidak lama selepas itu Euromoney menamakan beliau sebagai empat Menteri Kewangan teratas dan pada tahun 1996 Asiamoney pula menamakan beliau sebagai Menteri Kewangan Terbaik.

Selain itu, Anwar adalah Menteri Kewangan yang memulakan bayaran bonus sebagai menghargai jasa penjawat awam dan amalan itu diteruskan semua Menteri Kewangan selepas beliau.

Legasi terbesar yang digagaskan beliau adalah menyediakan tapak perjuangan dengan melancarkan reformasi pada 1998 yang membawa kepada tumbangnya Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14, baru-baru ini.

Legasi Mohamed Azmin di Selangor 

Selain Anwar, seorang lagi pendukung utama penggerak reformasi adalah bekas Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor ke-15 pada September 2014 sebelum melepaskan jawatan pada Jun 2018 apabila dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Dalam politik moden Selangor, beliau diingati sebagai satu-satunya Dato’ Menteri Besar Selangor yang melepaskan jawatan bukan disebabkan kontroversi seperti kebanyakan bekas Menteri Besar terdahulu.

Walaupun menduduki kerusi Dato’ Menteri Besar dalam tempoh yang agak singkat, namun Mohamed Azmin berjaya memberi nafas dan imej baru kepada pentadbiran negeri yang kesannya dirasai rakyat.

Antaranya, beliau adalah Dato’ Menteri Besar yang mencetuskan idea dan meletakkan batu asas yang kukuh untuk membawa Selangor ke arah negeri ‘Smart State’ menjelang 2025.

Di eranya juga, Kerajaan Negeri membelanjakan sejumlah besar peruntukan untuk membiayai pelbagai skim di bawah Inisiatif Peduli Rakyat untuk dikongsikan dengan rakyat negeri itu.

Bagaimanapun, apa yang membanggakan, walaupun berbelanja besar tetapi pada masa sama pendapatan dan rizab Kerajaan Negeri terus menunjukkan pertambahan.

Di era Mohamed Azmin juga, beberapa inisiatif baru yang tidak dijangka diperkenalkan seperti skim Kasih Ibu Smart Selangor dan Skim Peduli Sihat.

Manakala, projek perumahan mampu milik juga begitu rancak di bawah pentadbiran beliau selepas Kerajaan Negeri memutuskan menyediakan beberapa skim untuk pemaju perumahan.

Rekod pentadbiran Mohamed Azmin turut menunjukkan peningkatan pelaburan luar yang agak mendadak khususnya membabitkan pelaburan berteknologi tinggi seperti perindustrian aeroangkasa.

Selain menjana pendapatan kepada negeri, keadaan ini membuka banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat negeri itu.

Walaupun selepas meletak jawatan, banyak lagi hasil bekas ‘air tangan’ Mohamed Azmin di Selangor terus dapat dinikmati oleh rakyat negeri itu.

Selain itu, Mohamed Azmin tentunya menjadi Dato’ Menteri Besar paling diingati penjawat awam di Selangor apabila menganugerahkan bonus tiga bulan gaji pada 2017 dan ia aalah rekod pembayaran bonus tertinggi pernah direkodkan oleh mana-mana kerajaan, di Malaysia.

Sama seperti Anwar, pengalaman bergelumang dengan pahit getir perjuangan reformasi selama 20 tahun benar-benar mendorong Mohamed Azmin untuk memikirkan formula terbaik membela nasib rakyat.

Walaupun Dr Mahathir, Anwar dan Mohamed Azmin penah meninggalkan legasi masing-masing, namun hari ini ketiga-tiga mereka kekal relevan dalam kancah politik arus perdana negara.

Tanpa mengenal penat, jemu dan berputus asa, ketiga-tiga mereka masih lagi mencurah bakti kepada Malaysia baharu dengan cabaran lebih hebat, sekali gus bakal meninggalkan legasi lebih besar untuk generasi akan datang.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next