NASIONAL

Pemimpin tertinggi KEADILAN jangan angkuh dengan kuasa

HULU KELANG, 10 NOV: Pimpinan tertinggi KEADILAN diingatkan supaya tidak sombong dan angkuh dengan kuasa hingga sanggup ‘menghalalkan’ proses pemilihan parti yang dilihat tidak telus serta meragukan.

Timbalan Presidennya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pimpinan parti perlu akur dengan aduan dan desakan akar umbi yang bimbang dengan ketidaktelusan proses pemilihan ketika ini, khususnya membabitkan cabang Julau, Sarawak.

“Kita sudah mendesak supaya pemilihan cabang Julau ditangguhkan sehingga daftar pemilih itu dibersihkan dan sebagai satu gerakan reformasi, pemimpin tertinggi parti mesti bersedia mendengar keluhan ahli di peringkat akar umbi.

“Jangan sombong dan angkuh hingga sanggup mendesak proses pemilihan tidak telus, semata-mata untuk berpihak kepada kumpulan tertentu,” katanya kepada NSTP selepas merasmikan Karnival Gemilang 2018 Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Melawati 2 di sini, hari ini.

Kenyataan itu susulan pendedahan Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, R Sivarasa berkenaan bukti jelas ketidaktelusan dalam pertambahan ahli, di cabang Julau secara mendadak.

Turut mencetuskan kontroversi adalah lawatan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke Julau, pada Selasa lalu, yang didakwa menyebelahi kem Rafizi Ramli (calon Timbalan Presiden), namun dinafikan Timbalan Perdana Menteri itu.

Isu tidak telus di cabang Julau tercetus selepas berlaku kenaikan mendadak jumlah keahliannya dari 603 kepada lebih 13,000 ahli, pada 27 Jun lalu sehingga laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil yang mewakili Biro Politik berkata, tiada sebarang perlanggaran keahlian, di cabang Julau.

Ditanya berkenaan keputusan Biro Politik KEADILAN, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi mengaku tidak bersetuju dengannya kerana ia dilihat mengetepikan puluhan aduan terhadap isu itu, termasuk laporan kepada SPRM.

“Ya (tidak setuju), mesti. Kita dulu pendesak Suruhanjaya Pilihan Raya supaya bertindak adil membersihkan daftar pemilih, mengapa kita harus melakukan perkara sama selepas diberikan kuasa.

“Sebab itu saya kata jangan kita sombong dengan kuasa yang ada kerana rakyat dan anggota parti akan menghukum kita jika gagal memberikan kualiti kepemimpinan terbaik.

“Saya harap dan mendesak Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan pihak bertanggungjawab menyiasat perkara ini secara menyeluruh untuk mempertahankan reputasi dan kredibiliti parti,” katanya.

 


Pengarang :