GLOBAL

Pencarian pesawat Lion Air masuk hari keenam, penyelam turut terkorban

JAKARTA, 3 NOV: Operasi pencarian bangkai pesawat dan sebahagian lagi kotak hitam pesawat Lion Air kini turut mengorbankan seorang penyelam awam, yang dilaporkan mengalami “decompression sickness”.

Menurut laporan media Indonesia, mangsa, Syachrul Anto, 48, seorang penyelam dari Indonesia Diving Rescue Team, dikejarkan ke Hospital Koja, Jakarta pukul 10 malam tadi kerana tidak sedarkan diri selepas melakukan penyelaman di perairan Tanjung Karawang.

Agensi berita Antara yang memetik seorang pegawai tentera Indonesia, Kolonel Isswarto berkata mangsa disahkan meninggal dunia 10.30 malam tadi di hospital berkenaan.

Mangsa berasal dari Surabaya dilaporkan adalah seorang penyelam berpengalaman dan sering menyertai misi penyelamatan.

Pegawai Perhubungan Masyarakat Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas),Yusuf Latief ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, bagaimanapun berkata Basarnas masih menyiasat secara terperinci kes berkenaan.

Decompression Sickness adalah disebabkan meningkatnya gelembung nitrogen di dalam tubuh ketika melakukan penyelaman.

Sementara itu Basarnas dalam satu kenyataan berkata setakat tengah hari ini, sebanyak 73 kantung atau beg berisi cebisan dan anggota jenazah telah dihantar ke Rumah Sakit Polis Indonesia, untuk proses kenal psdti menggunakan kaedah ujian profil asid deoksiribonukleik (DNA).

Tiga lagi jenazah telah dikenalpasti semalam dan telah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengkebumian iaitu jenazah yang dikenali sebagai Chandra Kirana, 29, Hizkia Jorry Saroinsong, 23, dan Monni, 41 tahun.

Identiti pertama korban dikenalpasti pada 31 Okt lepas iaitu Jannatun Cintya Dewi, berusia 24 tahun, berasal dari Kacamatan Jawa Timur.

Pada khamis (1 Nov lepas), pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemui “flight data recorder (FDR)” pesawat Lion Air yang terhempas Isnin lepas di perairan Tanjung Karawang, dan kini fokus pencarian adalah kepada sebahagian lagi kotak hitam pesawat itu iaitu “Cockpit Voice Recorder (CVR)”.

Operasi SAR hari keenam hari ini turut menggunakan teknologi canggih seperti teknologi sonar di koordinat yang ditemui FDR berkenaan, kira-kira 500 meter dari koordinat pesawat itu terhempas.

Penerbangan JT610, yang membawa 181 penumpang dan lapan anak kapal, terhempas selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada 6.20 pagi Isnin lepas di koordinat S 5 49.052 E 107 06.628.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :