NASIONAL

Pendidikan terima peruntukan terbesar

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Kementerian Pendidikan menerima peruntukan terbesar menerusi Belanjawan 2019, iaitu kira-kira RM60.2 bilion atau 19.1 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan.

Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad berkata, beliau beranggapan perkara itu antara yang terbaik dilakukan kerajaan Pakatan Harapan.

Katanya, pelajar masa kini perlu mendalami pelbagai ilmu baru termasuk teknologi, sains dan matematik.

“Jika dulu, pelajar memahami ilmu penjajahan British di Tanah Melayu dan geografi, namun sekarang situasinya sudah berlainan,” katanya dalam sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2019, di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pendidikan berkualiti adalah mekanisme terjamin dan mampan bagi mencapai pertumbuhan pendapatan lebih tinggi.

Antara inisiatif yang akan dilaksanakan termasuk menyediakan peruntukan bagi pendidikan berjumlah RM2.9 bilion untuk membantu golongan miskin melalui bekalan makanan, buku teks dan bantuan tunai.

Kerajaan juga akan menaikkan taraf dan menyelenggara semua sekolah dengan peruntukan RM652 juta berbanding RM615 juta, pada 2018.


Pengarang :