GLOBAL

Penduduk Gaza siap sedia hadapi situasi terburuk

GAZA 14, NOV: Serangan Israel di bandar ini menyebabkan penduduk Palestin tidak senang duduk sepanjang malam tertanya-tanya jika satu lagi perang dahsyat sedang bermula, sementara ribuan rakyat Israel berlindung daripada serangan roket.

“Apa yang berlaku seperti gempa bumi. Seperti yang anda lihat, tiada lagi kedai runcit, farmasi, pejabat, dinding dan bangunan,” kata Abu Ayman Lemzeni yang tinggal berdekatan bangunan Al Aqsa TV milik Hamas di bandar ini musnah akibat serangan Israel.

“Kanak-kanak ketakutan. Kami tidak dapat tidur malam tadi atau pagi ini,” kata penduduk Gaza, Jamal Murtaja.

Ramai kesuntukan masa untuk berpindah dan mendapati diri mereka di jalanan berikutan ketiadaan pusat perlindungan selamat.

“Sebaik kami melihat peluru berpandu, kami lari ke dalam rumah. Kami orang awam. Kami tiada senapang atau roket,” kata Mohammed Aboud yang tinggal berhampiran bekas bangunan Al-Amal Hotel.

Hanya 20 kilometer dari situ, di sebelah pagar dikawal ketat Israel, lebih 128,000 penduduk di bandar tepi laut Israel di Ashkelon menghabiskan malam dalam serangan roket. Ada yang berlindung di pusat perlindungan.

Pihak berkuasa Israel mengarahkan penutupan sekolah dan tadika dan banyak jalan raya lengang.

Di bandar ini, sejumlah bangunan musnah dalam perang terakhir dengan Israel pada 2014 masih tidak dibina semula.

Jalanan di Bandar Gaza, biasanya sibuk dan bising, lengang pagi semalam.

“Kami belum lupa perang terakhir pada 2014. Rakyat lelah dengan perang. Cukup-cukuplah,” kata Mohamed Bulbul yang tinggal di bahagian selatan bandar itu.

Sementara itu, kedua-dua pihak menghentikan serangan jam 5 petang semalam susulan usaha pengantaraan Mesir, membawa keadaan tenang di barisan hadapan Gaza selepas serangan roket dan udara besar-besaran sejak perang 2014.

Seorang pegawai Palestin yang memberi taklimat berkaitan rundingan berkata, pihak Gaza menghentikan serangan sebagai sebahagian perjanjian dicadangkan Mesir. Pihak berkuasa Israel mengesahkan, Kaherah terbabit dalam perjanjian semalam.

Sejak Isnin lalu, serangan udara Israel mengorbankan tujuh penduduk Palestin, sekurang-kurangnya lima daripadanya pejuang dan memusnahkan beberapa bangunan digunakan pemerintah Islam, Hamas.

SUMBER: AFP/Reuters


Pengarang :