SELANGOR

Penduduk Kuala Selangor mahu perubahan pembangunan

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 10 NOV: Penduduk Kuala Selangor mahu lebih banyak kawasan industri dibina, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan, di situ.

Penduduk, A Ravin , 51, berkata sehingga kini kebanyakan penduduk setempat terpaksa berulang alik ke Shah Alam, Rawang, Damansara dan Kapar untuk bekerja setiap hari.

Katanya, ekoran itu kawasan Kuala Selangor menjadi sepi gara-gara golongan belia turut berhijrah ke bandar bagi mencari peluang baru.

“Jika ada lebih banyak industri seperti kilang atau pembuatan makanan, maka mungkin anak muda Kuala Selangor tidak lagi bersusah payah.

“Apabila ekonomi di Kuala Selangor lebih rancak, kemungkinan satu hari nanti lokasi ini akan turut sama seperti Shah Alam atau Ampang,” katanya kepada SelangorKini, pada Majlis Sambutan Deepavali di Kampung Selangor Estate River, malam tadi.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli.

Pada masa sama, beliau turut berharap pimpinan negeri memandang serius permasalahan itu.

“Kami mahu lawatan (Dato’ Menteri Besar) ini mengubah landskap pembangunan di Kuala Selangor dan membawa manfaat kepada golongan muda,” katanya.

Sementara itu bagi Ashyanti Kumar, 57, berkata penduduk kampung di sekitar Kuala Selangor juga semakin berkurang ekoran anak muda sudah berhijrah.

Bagaimanapun, katanya, mereka tidak boleh disalahkan kerana belia ingin membina masa depan sendiri, di tempat yang lebih baik.

“Kesemua anak saya juga sudah tinggal di Ampang, Subang dan juga Shah Alam, akhirnya tinggal saya serta suami sahaja di rumah, memang tidak boleh nafikan kadangkala risau kerana kami sudah tua.

“Saya berharap satu hari nanti apabila Kuala Selangor lebih maju, anak muda tidak perlu lagi keluar dan terus memajukan kampung mereka sendiri,” katanya.


Pengarang :