NASIONAL

Pengecualian duti setem bagi pembelian rumah pertama RM300,000

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Kerajaan mencadangkan pengecualian duti setem 100 peratus ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman pembelian rumah pertama berharga sehingga RM300,000 oleh warganegara Malaysia.

Tarikh kuat kuasa cadangan itu adalah bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Jan 2019 hingga 31 Dis 2020.

Cadangan itu bertujuan menggalakkan pembelian rumah kediaman dan meningkatkan pembelian unit rumah tidak terjual daripada pemaju serta merancakkan pasaran hartanah, demikian menurut teks lampiran ucapan Belanjawan 2019 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, hari ini.

Kerajaan turut mencadangkan pengecualian duti setem 100 peratus terhad ke atas surat cara pindah milik bagi pembelian sebuah rumah kediaman pertama berharga antara RM300,001 dan RM1 juta daripada mana-mana pemaju perumahan bagi tempoh enam bulan.

Tarikh kuat kuasa pengecualian itu adalah bagi perjanjian jual beli disempurnakan mulai 1 Jan 2019 hingga 30 Jun 2019.

Kerajaan juga mencadangkan pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama yang berharga antara RM300,001 dan RM500,000.

Pengecualian duti setem 100 peratus terhad kepada RM300,000 pertama nilai rumah berkenaan dan baki ​​​​​​ selebihnya adalah tertakluk kepada kadar duti setem semasa.

Pengecualian berkenaan berkuat kuasa bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan pada 1 Julai 2019 hingga 31 Dis 2020.

Pada masa ini tiada pengecualian duti setem diberikan bagi pembelian rumah kediaman yang melebihi harga RM500,000.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :