BERITA UTAMASELANGOR

Peniaga menggeletar terima berita kebakaran Uptown Seksyen 24

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 NOV: Peniaga Uptown Seksyen 24, Shah Alam masih terkejut dengan kejadian kebakaran di Blok A sekitar jam 5 pagi tadi yang mengakibatkan kemusnahan barangan perniagaan mereka.

Taharah Yusof, 50, ketika ditemui media mengakui masih terkejut dengan kejadian yang berlaku dan mengakui menggeletar ketika menerima panggilan daripada rakan perniagaan.

“Kawan yang sama berniaga menghubungi saya dua kali sekitar jam 6.15 pagi. Saya bergegas ke sini untuk melihat keadaan tetapi setakat ini kami (peniaga) tidak dibenarkan masuk.

“Saya pulang ke rumah sekitar jam 3 pagi selepas menjalankan perniagaan. Saya masih bersedih namun redha dengan apa yang berlaku,” katanya.

Beliau yang menjalankan perniagaan pakaian wanita sejak 11 tahun lalu sambil dibantu dua pekerja berharap pihak berwajib akan membantu peniaga terjejas tambahan musim persekolahan bakal tiba tidak lama lagi.

“Kita masih tunggu hasil siasatan forensik Jabatan Bomba bagi mengetahui punca sebenar kejadian dan berharap akan ada bantuan untuk kami menaikkan semula perniagaan.

“Tambahan saya mempunyai keluarga yang perlu dibantu selain menyediakan persiapan persekolahan untuk anak-anak,” katanya.

Bagi peniaga pakaian, Nizam Shahjihan, 25, berkata beliau hanya dimaklumkan mengenai kejadian sekitar jam 6 pagi oleh rakan perniagaan yang terlebih dahulu mendapat maklumat kejadian.

Katanya, ini merupakan pengalaman pertama sejak mula berniaga bersama rakan sejak Mac 2018.

“Kedai saya berada di Lot A73 dan menjual pakaian animasi. Kebetulan saya tidak berada di sini semalam tetapi pekerja pulang sekitar jam 3 pagi.

“Dianggarkan kos kerugian awal yang dialami antara RM20,000 hingga RM40,000 bagi modal barang perniagaan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini beliau masih belum mendapatkan maklumat sebenar berhubung kejadian kebakaran premis yang disewa sekitar RM300 sebulan.

Kejadian ini tidak akan mematahkan semangat Nizam untuk terus berniaga selepas ini tambahan, ibunya turut menjalankan perniagaan beg di Blok B di samping akan menunggu hasil siasatan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat berhubung punca kejadian.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor dalam kenyataan memaklumkan kejadian kebakaran itu memusnahkan 35 lot kedai dan pihaknya menerima panggilan sekitar jam 5.37 pagi.

Seramai 39 anggota dari Balai Shah Alam, Kota Anggerik dan Subang Jaya dikejarkan ke tempat kejadian manakala kebakaran berjaya dikawal sekitar 5.50 pagi.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan sementara punca dan jumlah kerugian masih disiasat.


Pengarang :