EKONOMINASIONAL

Peningkatan hasil kerajaan rancakkan ekonomi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 NOV: Hasil negara pada 2019 dijangka meningkat kepada RM261.8 bilion berbanding RM239.86 bilion yang dikutip, pada 2018.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia, Dr Rosli Yaakob berkata, kutipan tinggi itu membolehkan kerajaan menyediakan peruntukan besar dalam Belanjawan 2019 bagi merancakkan lagi ekonomi negara.

“Ini menunjukkan kita mempunyai sumber kewangan kukuh untuk menampung perbelanjaan kerajaan dan swasta, sekali gus membantu pertumbuhan ekonomi.

“Apabila kerajaan berbelanja lebih, ia akan meningkatkan perbelanjaan awam dan permintaan yang akhirnya merancakkan pelbagai sektor seperti pertanian serta pembuatan,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, langkah sama juga digunakan Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 1999 yang akhirnya berjaya membawa Malaysia keluar daripada kemelut krisis kewangan lebih awal, berbanding negara jiran.

Bagaimanapun, katanya, minat yang tinggi dalam kalangan pelabur tempatan dan luar negara juga membantu mengukuhkan ekonomi Malaysia.

“Perbandingan mata wang ringgit dengan beberapa negara Asean lain, pada masa ini juga lebih baik berbanding situasi pasca serangan penyangak mata wang ketika itu,” katanya.


Pengarang :