BERITA UTAMASELANGOR

Penjawat awam hargai & gembira bantuan khas kewangan sebulan gaji

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 NOV: Penjawat awam terharu dengan bantuan khas kewangan sebulan gaji seperti diumumkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari pada pembentangan Belanjawan Selangor 2019.

Penjawat Awam, Nurhamizah Othman berkata, bantuan kewangan itu sememangnya dinantikan penjawat awam di Selangor.

“Penjawat awam juga banyak bertungkus-lumus sepanjang setahun dalam membantu Kerajaan Negeri dan masyarakat.

“Sumbangan ini seharusnya dipuji dan saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana tidak pernah melupakan jasa penjawat awam,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Penjawat Awam, Mohd Fontenza Mohd Rawi berkata, pengumuman bantuan khas kewangan itu di luar jangkaan memandangkan prestasi hasil ekonomi kini agak menurun.

“Saya amat berterima kasih kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari kerana sering memberi berita gembira kepada penjawat awam setiap kali pembentangan Belanjawan Selangor,” katanya.

Selain itu, Penjawat Awam, Siti Fairus Mahd Sah berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar kerana terus memberi kepercayaan kepada penjawat awam.

Terdahulu, Amirudin menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2019 mengumumkan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam yang akan dibayar pada 20 Disember depan yang akan memberi implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM34.53 juta.

Amirudin berkata, bantuan khas kewangan berkenaan sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap keazaman penjawat awam untuk menunaikan tanggungjawab dan kecekapan mereka mentadbir.


Pengarang :