AGAMASELANGOR

PENJAWIS hasrat perkasa tulisan Jawi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 11 NOV: Persatuan Pencinta Tulisan Jawi Selangor (PENJAWIS) berhasrat menjadikan ‘Program Semarak Jawi’ sebagai aktiviti berprestij bagi mengangkat semula khazanah pusaka bangsa Melayu itu, khususnya buat generasi muda.

Penolong Setiausahanya, Tahirah Mohamad Zahari berkata, ia selaras matlamat melahirkan pelapis berwawasan dan berketerampilan untuk mempelajari bahasa al-Quran yang bukan sekadar tahu membaca, sebaliknya mampu menulis tulisan jawi.

Katanya, memandangkan dunia pendidikan Islam dan ilmu tulisan jawi tidak boleh dipisahkan, maka program seperti itu menjadi landasan terbaik untuk terus diperkasa pemiliknya sendiri.

“Kalau kita lihat kini, setiap kaum ada bentuk dan gaya penulisannya tersendiri, malahan berterusan diguna pakai dalam silibus kurikulum sekolah masing-masing serta diimplimentasi dalam kehidupan harian mereka tetapi tidak seperti tulisan Jawi.

“Ternyata tulisan Jawi ini ada dalam kurikulum sekolah aliran agama sahaja dan bukan aliran perdana tetapi cukup kurang keberhasilan penggunaannya dalam kehidupan kita,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Terdahulu program yang berlangsung mulai 1 hingga 3 November lalu, di Masjid Puncak Alam, di sini, adalah penganjuran siri keenam, selain turut mendapat kerjasama hebat daripada Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor.

Seramai 120 pelajar berusia lingkungan 11 hingga 15 tahun dari Puncak Alam, Saujana Utama, Seri Pristana termasuk Ngoi, manakala 45 guru dari sembilan daerah terbabit dalam menjayakan program bertemakan ‘Gegar Jiwa Perkasa Minda’ itu.

Mengulas berkenaan pengisian sepanjang program, Tahirah berkata, ia terbahagi kepada tiga slot utama meliputi proses pengajaran dan pembelajaran tulisan jawi serta program motivasi bagi menaikkan semangat selain membangunkan jati diri peserta.

“Kita juga mengadakan aktiviti berteraskan motivasi gegar jiwa dan ia berkisar berkenaan cara berfikir dengan kritis serta kreatif bagi menyelesaikan masalah diberi.

“Selain itu, pelbagai aktiviti pertandingan dan gerai pameran seni penulisan kaligrafi khat diadakan misalnya pertandingan riang ria jawi, mewarna jawi tiga dimensi, membaca akhbar jawi, membaca buku cerita serta pantas jawi cergas minda,” katanya.


Pengarang :