BERITA UTAMASELANGOR

Penyakit pembunuh kedua tertinggi diberi perhatian khusus

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 NOV: Kerajaan Negeri akan memberi penekanan khusus dalam menangani isu kesihatan mental menerusi pembentangan Belanjawan Negeri 2019 yang dibentangkan Jumaat ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu diberi perhatian apabila kajian mendapati penyakit mental akan menjadi pembunuh kedua tertinggi selepas masalah jantung menjelang 2020.

Katanya, menurut kajian National Health and Morbidity Survey 2018, setiap 3 dalam 10 orang dewasa berumur 16 tahun ke atas di Malaysia mengalami masalah mental yang serius.

“Baru-baru ini juga ketika sidang Dewan Negeri Selangor, masalah ‘mental health’ dibangkitkan sebagai antara ancaman utama terhadap masyarakat.

“Menambahkan kebimbangan apabila kebanyakan mereka tidak sedar akan masalah yang dihadapi oleh diri mereka sendiri.

“Oleh itu, dalam Belanjawan Selangor 2019 yang bakal saya bentangkan pada Jumaat 23 November ini, isu menangani ‘mental health’ akan diberi penekanan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pusat Kaunseling Selangor, Majlis Pentauliahan Akrab Tahun 2017, Anugerah Akrab dan Penarafan Bintang Standard Kualiti Perkhidmatan Psikologi (Skppsi), Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2018.

Pada masa sama, Amirudin berkata, Pusat Kaunseling Selangor (Talian Sahabat) ditubuhkan khusus untuk masyarakat dan individu yang memerlukan khidmat psikologi dan kaunseling, bimbingan dan nasihat positif bagi membangunkan potensi diri dalam menangani isu yang dihadapi.

Katanya, PKS turut semakin berkembang ke Cawangan Pusat Kaunseling Selangor iaitu di Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Sepang.

“Dengan penambahan PKS di tiga kawasan Pihak Berkuasa Tempatan, saya percaya ia akan menggalakkan lagi pembudayaan dan pemerkasaan perkhidmatan psikologi dan kaunseling secara berterusan bagi mengurus modal insan secara efektif dan holistik.

“Saya difahamkan perkhidmatan yang disediakan oleh PKS mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada rakyat.

“Perkembangan positif ini sedikit sebanyak dapat mengubah stigma negatif terhadap perkhidmatan kaunseling, ia bukan untuk orang yang bermasalah sahaja malah ia juga berperanan untuk membimbing masyarakat dalam menghadapi cabaran dan rintangan hidup pada masa kini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan seiring dengan kepesatan perkembangan teknologi dalam menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0, elemen pembangunan modal insan dan pembangunan masyarakat wajar diberi perhatian.

“Perkhidmatan PKS ini perlu memanfaatkan teknologi dalam pengurusannya, agar capaian perkhidmatannya lebih meluas dan efektif,” katanya.


Pengarang :